"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

“Kalau saya bunuh diri, harap ustaz tanggungjawab”

NASUHA RAHMAN

Seorang pemilik akaun Twitter Sakinah Zulkifli membuat satu ciapan memaklumkan dirinya sudah tidak tahan lagi untuk meneruskan hidup ketika ini.

Melalui ciapan yang turut menanda Datuk Zulkfli Mohamad Al Bakri dia berkata Menteri Agama gagal untuk menasihati pemimpin-pemimpin apatah lagi dirinya yang dianggap ‘ikan bilis’.

“Salam @drzul_albakri maaf ustaz.

“Saya dah tak tahan nak hidup.

“Ustaz sendiri pun gagal nak nasihatkan pemimpin apatah lagi saya yang bilis ini.

“Kalau saya bunuh diri saya harap ustaz dan para pemimpin juga dipertanggungjawabkan.

“Sungguh saya dah tiada daya,” luah Sakinah dalam ciapan pada 9 Julai lalu.

Bagaimanapun, Dr Zulkifli turut membalas ciapan Sakinah dan memberitahu cuba untuk membantunya. 

“Boleh kami tahu apa yang meresahkan cik? Kami cuba bantu, Insya-Allah,” ciap Dr Zulkifli.

Dalam pada itu, Sakinah dalam postinya di Facebook pada 10 Julai baru-baru ini menjelaskan beliau telah kehilangan insan yang paling disayangi dalam hidup ini.

Dan katanya, dalam ciapan yang turut menanda Menteri Agama itu umpama meletakkan dirinya di tempat mangsa.

Justeru beliau telah menulis satu surat terbuka buat Menteri Agama;

Assalamualaikum ustaz,

Pertama sekali jazakallah khairan kerana ustaz telah membaca ciapan tempoh hari. Untuk pengetahuan ustaz, saya telah hilang insan yang paling saya sayangi dalam hidup ini dan ciapan berkenaan saya letak diri saya di tempat mangsa.

Ustaz,

Saya baca setiap balas daripada ciapan tempoh hari dan di sini saya ingin berkongsi rasa. Pernah ustaz duduk dan memerhati setiap ciapan daripada rakyat dibawah? Ungkapan ‘penat’, ‘xmahu hidup’ dan sebagainya tidak hanya boleh di selesaikan dengan bersujud di tikar sejadah dan menadah tangan dengan berdoa.

Memang agama menggalak dan mewajibkan kita berdoa tetapi ustaz juga perlu mengerti yang kita juga harus berusaha. Bagaimana ustaz? Bagaimana mahu berusaha jika sudah berdoa tetapi tetap tidak nampak jalan? Mahu tetap juga tunggu sehingga turun dari langit?

Ustaz,

Berkaitan dengan mental illness ia sesuatu yang tidak boleh dipandang remeh. Ustaz sebagai pakar agama dan saya kira sebagai bapa serta datuk seharusnya berfikir sebagai insan sebentar. Rasai naluri dan penderitaan kami di musim pademik ini. Apakah dengan ramai rakyat mati itu bukan satu maslahat pada umat?

Apakah ustaz sedia menjawab di akhirat kelak? Saya tidak menidakan usaha dan kebaikan ustaz tetapi sebagai saudara Islam ustaz merelakan kekejaman ini? Adakah perbuatan menzalimi rakyat itu bukan suatu dosa? Relakah ustaz melihat ramai lagi rakyat yang bunuh diri kerana tekanan?

Ustaz, saya tidak meminta sebarang bantuan kerana bantuan dari sekeliling lebih pantas dari birokrasi. Di musim begini rakyat Malaysia lebih pantas menjaga sesama rakyat dari pemimpin sendiri yang cuma pentingkan kuasa dan kerusi. Bantuan utama yang saya perlukan saya mohon, saya minta ustaz nasihat para menteri untuk lebih adil, lebih amanah, lebih peka dengan sekeliling. Sekurang-kurangnya saya lihat yang ustaz telah mencuba.

Akhir kata dari saya ustaz, jika ramai agama suruh rakyat muhasabah dan beristighfar, saya minta ustaz penjamkan mata dan rasai penderitaan kami. Ingat nyawa-nyawa yang terkorban akan dipertanggungjawab oleh pemimpin kelak di akhirat.

Terima kasih ustaz, maaf jika tulisan ini tiada adab atau menguris hati. Saya doakan ustaz sihat dalam rahmat Allah.

Jazakallah khairan khir

Tiada ulasan: