MALAYSIA DATELINE
ATRIZA UMAR
Satu-satu isu menimpa negara dalam keadaan pandemik yang melanda dan belum tampak di mana penghujungnya.
Kesempitan dan kesakitan rakyat yang semakin parah, seakan tiada apa-apa di mata pemerintah. Kes bunuh diri, pelajar tertekan dan meninggal dunia serta banyak lagi isu lain yang sangat menguji.
Rakyat dihalang berleluasa dan diperintahkan mengikuti arahan Kawalan Pergerakan (PKP) sampai dijenama kepada Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang punya fasa.
Namun, para pemimpin bebas ‘terbang’ ke sana sini, dalam negeri dan luar negara, tanpa melihat situasi rakyat yang sedang bergelumang dengan cabaran hidup yang sangat menduga.
Kononnya alasan tugasan kerja hingga ke luar negara, isu rakyat yang di depan mata dan semakin berlarutan pula seakan tidak dipedulikan!
Sebahagian ahli parlimen pula baru sahaja menerima notis persidangan lima hari bermula 26 Julai hingga 2 Ogos ini yang hanya ada sesi penerangan daripada menteri sahaja tanpa perbahasan.
Apakah ‘lawak’ yang sedang dilakukan? Penulis masih sangsi sama ada ini sidang Parlimen atau ceramah umum. Jika ceramah umum, baik disiarkan sahaja ceramah secara langsung, tidak perlu ahli-ahli Parlimen bersusah payah untuk hadir.
Prihatinlah wahai menteri
Rakyat sudah lama terkurung di rumah sendiri, walau rela paksa, demi mendambakan hidup yang lebih baik seperti sebelum berlakunya pandemik ini. Bukan itu sahaja, telah ramai rakyat kalian ‘pergi’ kerana wabak ini dan angka-angka terus meningkat setiap hari hingga melebihi 13,000.
Pihak barisan hadapan terutamanya para pegawai kesihatan pula terlalu penat, kerana tugasnya yang tidak mengenal waktu dan keadaan.
Dan kalian seenaknya mempamerkan aktiviti ke luar negara, ziarah-menziarahi, mengunjungi zoo, memberi makan haiwan, merasmikan itu ini di sana sini dalam keadaan rakyat tidak dapat bertemu insan-insan yang disayangi seperti emak ayah dan keluarga, saudara mara serta sahabat handai.
Mereka dilarang merentas negeri untuk pulang ke kampung halaman, bahkan ada yang tidak dapat bertemu lagi kerana telah dijemput Ilahi.
Tulisan ini dizahirkan penulis dengan hati yang mendalam, mewakili rakyat yang ingin melihat negara dipimpin oleh pemimpin yang selayaknya dan yang ingin kembali hidup tanpa Covid-19 ini.
Kerajaan sewajarnya lebih telus dan bersikap adil serta prihatin yang menggunung dalam usaha menangani wabak dan segala masalah ini. Jangan terus menjadikan rakyat sebagai mangsa atas segala kerakusan kuasa kalian.
Jika tidak, kalian harus berundur dan berilah kepada mereka yang lebih layak melaksanakan amanah berat ini sebagaimana yang dipilih rakyat sebelum kalian melakukan ‘tebuk atap’ ini.
Harapan yang sesungguhnya agar negara mampu dipulihkan segera dan rakyat dapat menjalani kehidupan seperti biasa, melaksanakan solat berjemaah di masjid dan surau, mengunjungi emak ayah di kampung, ke sekolah, bekerja, melakukan aktiviti kemasyarakatan dan juga berpersatuan.
Pendek kata, rakyat ingin melakukan rutin-rutin yang selalu dilaksanakan ketika sebelum ancaman pandemik ini bermaharajalela.
Dengan kuasa dan keberadaan yang kalian ada, bantulah kehidupan rakyat yang makin sakit dan membarah perit ini. Kerana amanah yang telah kalian ‘ambil’, pandanglah jiwa-jiwa rakyatmu ini dengan penuh kasih sayang dan tanggungjawab, seperti seorang ketua keluarga terhadap keluarga yang dipimpinnya.
Jika perkara itu tidak dapat kalian tangani, serahkanlah kepada yang ahli, bukan bermegah dengan jawatan dan kedudukan yang ‘dirampas’ itu. Jika benar kegagalan ini bukan kerana kalian, jadi siapa punya angkara semua ini?
Apakah sehingga perlu rakyat menadah tangan mendoakan penguasa yang sebegini yang sangat keterlaluan melakukan sesukanya dan rakyat berasa dizalimi?
Doa orang dizalimi
Ingatlah bahawa doa mereka yang dizalimi dan teraniaya sangat didengar Allah. Sebagai rakyat, teruskan doa-doa kita agar kembali mendakap kesejahteraan hidup sebagaimana sebelum Mac 2020 lalu.
Suka saya memetik status Furqan Abdullah yang menulis dan sering mengingatkan masyarakat.
“Saya ingin mengajak semua untuk membuat sesuatu perkara yang lebih bernilai tinggi (dan insya-Allah lebih berimpak) iaitu senjata paling ampuh yang ada dalam diri kita iaitu rintihan dan doa.”
Katanya, dalam hadis, Rasulullah SAW menjamin bahawasanya doa orang yang dizalimi tiada hijab antara dirinya dengan Tuhan.
“Justeru, bagi sesiapa yang rasa teraniaya dan terkesan teruk dengan sikap tak bertanggungjawab penguasa ini, mari sama-sama kita mengubah hamburan kemarahan kita di media sosial dengan berdoa merintih kepada Allah SWT agar memberi balasan yang setimpal akan kezaliman dan penganiayaan yang dilakukan.”
“Memanglah bukan beliau seorang sahaja yang perlu dipertanggungjawabkan, namun melihat kepada siri keangkuhan dan sikap beliau amat menyesakkan dada kita semua.”
Beliau memetik satu ayat al-Quran untuk menjawab persoalan sama ada dibolehkan untuk berdoa ke atas orang yang menzalimi kita.
“Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang (untuk mendedahkan kejahatan orang); kecuali oleh orang yang dianiayai. Dan (ingatlah) Allah sentiasa Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (An-Nisa’: 148)
Beliau juga memetik tafsiran Syeikh as-Sa’di berkaitan ayat ini.
“Diharuskan untuk berdoa dan mengadu kepada Allah ke atas mereka yang bersikap zalim. Begitu juga terang-terangan membongkar keburukan bagi mereka yang terang-terang melakukannya tanpa membuat sebarang bentuk penipuan (mengada-adakan cerita) ataupun berlebih-lebihan daripada (kadar) kezalimannya. Begitu juga hendaklah tidak sampai melampau daripada sikap zalimnya dengan mencaci (peribadinya).”
Ya, kepada siapa lagi yang kita perlu harapkan selain kekuatan ‘senjata’ doa dan pengharapan kepada yang Maha Esa?
Ayuh, kita terus berdoa agar Allah hadirkan pemimpin yang dapat mengembalikan negara Malaysia yang tercinta ini ke arah yang lebih baik, tanpa Covid-19, tanpa rasuah, tanpa penunggang agama, tanpa maksiat, tanpa penindasan, tanpa pembohongan dan tanpa segalanya yang tidak baik, yang sesiapa pun tidak inginkan.
Ya Allah, dengarkanlah rintihan kami, hamba-Mu.
———-
Penulis adalah Pegawai Penerangan dan Perhubungan, Pertubuhan IKRAM Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan