ARIF ATAN
Ke mana sahaja dia ‘terbang’, rakyat Malaysia pasti mampu mengejar dan mencercanya. Dia sama sekali tidak terlepas dari radar warganet yang semakin tertekan dengan siri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Itu yang dialami menteri kerajaan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga Ahli Parlimen Gombak.
Selepas dia dikecam bertalu-talu di laman Facebook Menteri Persekutuan bagi Hal Ehwal Digital dan Ekonomi Austria, Dr Margarete Schramböck, perhatian warganet kini beralih kepada menteri di Turki pula.
Hantaran di Facebook Menteri Perdagangan Turki Dr Mehmet Muş menarik perhatian rakyat Malaysia apabila dihujani begitu banyak cercaan hanya selepas 17 jam dimuatnaik.
Sepanjang tempoh itu, hampir 2,000 komentar rata-ratanya kecaman dan sindiran daripada rakyat Malaysia selain lebih 300 perkongsian di laman rasmi menteri Turki itu.
“Kami bertemu dengan Menteri Perdagangan dan Industri Malaysia En. Mohamed Azmin Ali dan kakitangannya di kementerian kita.
“Kami telah menandatangani deklarasi bersama mengenai Pelanjutan Perdagangan Bebas Turki-Malaysia. Semoga berjaya untuk kedua-dua negara..,” tulis Mehmet.
Walau bagaimanapun, beliau mungkin terkejut melihat hantarannya itu mendapat ‘sambutan hangat’ yang luar biasa berbanding banyak kenyataan dan perkongsiannya sebelum ini.
Deretan kata kecaman juga sindiran termasuk yang berbaur lucu dilemparkan kepada Azmin.
Ada juga warganet yang rajin dilihat menggunakan khidmat terjemahan di Google apabila mengecam Azmin dalam bahasa Turki.
Terdahulu, Azmin dan Mehmet menandatangani Deklarasi Bersama mengenai Perluasan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) antara Malaysia dan Turki.
Azmin yang dalam Misi Perdagangan dan Pelaburan (TIM) bagi tujuan meningkatkan perdagangan dua hala sebelum ini mengundang kemarahan rakyat Malaysia apabila dilihat bergambar di lokasi masjid ikonik di Turki, Hagia Sophia.
Minggu lalu, laman Facebook Margarete ‘diserbu’ warganet yang menzahirkan rasa tidak puas hati terhadap Azmin yang juga Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan