"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

TITAH AGONG DIDERHAKAI LAGI, SIDANG KHAS PARLIMEN BERUPA TAKLIMAT MENTERI 26 JULAI INI WAJAR DIBOIKOT

Shahbudin Husin

Sidang Parlimen yang sebenar akhirnya ditetapkan selama 15 hari bermula 2 September 2021.

Meskipun titah Yang Dipertuan Agong dan Majlis Raja-Raja adalah sangat jelas tentang keperluan Sidang Parlimen diadakan dengan segera dan secepat mungkin, Mahiaddin Md Yasin selaku Ketua Majlis Parlimen nampaknya tetap dengan kedegilan kepada rancangan asalnya sebelum ini bahawa Parlimen hanya boleh dibuka pada September atau Oktober.

Maksud pihak Istana agar Sidang Parlimen perlu diadakan segera dan secepat mungkin untuk membincangkan tentang Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara terlihat langsung tidak dipedulikan dan cuba difahami oleh kerajaan tanpa majoriti ini.

Dengan Sidang Parlimen ditetapkan pada 6 September iaitu setelah tempoh darurat berakhir, untuk apa lagi perlunya dibincangkan tentang darurat sebagaimana kehendak Agong dan Raja-Raja?

Bermakna dalam hal ini, titah Agong Majlis Raja-Raja seolah-olah telah dipermain-mainkan oleh Perdana Menteri dan kerajaan. 

Sebaliknya, Sidang Parlimen selama 5 hari bermula 26 Julai yang diwar-warkan lebih awal sebelum ini telah ditukar menjadi Mesyuarat Khas yang tidak lebih berupa majlis taklimat daripada menteri-menteri mewakili kerajaan kepada Ahli Parlimen semata-mata.

Perlukah Ahli-Ahli Parlimen hadir ke Parlimen semata-mata untuk sekadar mendengar taklimat sehala daripada pihak kerajaan?

Seperti kata Najib Razak, jika semata-mata majlis taklimat menteri-menteri saja, lebih baik dibuat rakaman dalam bentuk video, kemudian dimuat-naik dalam youtube dan Ahli-Ahli Parlimen menontonnya di situ saja.

Benar kata Najib itu kan!!

Melihat tindakan Mahiaddin yang sekali lagi menderhakai titah Agong dan Raja-Raja berkaitan pembukaan Parlimen ini, sebenarnya tidak keperluan untuk Ahli-Ahli Parlimen membazirkan masa hadir Sidang Parlimen khas pada 26 Julai ini.

Lebih baik mereka memboikotnya sebagai tanda tidak setuju dengan penderhakaan Mahiaddin dan kerajaan yang berterusan terhadap Agong dan Raja-Raja.

Adalah membuang masa saja menghadirkan diri dalam sidang khas itu jika untuk mendengar taklimat tanpa ada ruang untuk berbahas dan bertanya soalan.

Tambahan lagi, untuk apa terus diberi ruang kepada kerajaan tanpa majoriti ini bermaharajalela lagi?

Mahiaddin sekarang ini hanya cuba melengah-lengahkan masa menahan kuasa yang sedang dinikmatinya daripada dijatuhkan.

Selepas ini nanti, entah apa-apa lagi helah yang cuba dilakukannya.

Sesuai dengan UMNO ketika ini yang sudah membuat keputusan menarik sokongan terhadap Perdana Menteri, apa yang sepatutnya parti itu dan blok pembangkang lakukan ialah mengambil ketetapan memboikot sidang Parlimen pada 26 Julai ini.

Sekiranya dapat ditunjukkan kepada rakyat dan dunia bahawa lebih separuh daripada Ahli-Ahli Parlimen memboikotnya, bermakna dengan sendirinya terbukti Mahiaddin tiada lagi sokongan majoriti.

Kalau bukti tiada majoriti sudah dapat ditunjukkan dengan lebih nyata kepada rakyat dan dunia dengan lebih separuh Ahli Parlimen memboikot Sidang khas Parlimen, apakah Mahiaddin masih mampu hidup dengan tiada perasaan malu lagi?

Dalam waktu yang sama, dengan memboikot itu juga dapat memudahkan UMNO mengenal pasti siapa di kalangan Ahli-Ahli Parlimennya yang mengutamakan perjuangan atau lebih sayangkan jawatan. (ShahbudinHusin 16/07/2021)

Tiada ulasan: