Kamariah Khalidi
KUALA LUMPUR – Kehidupan rakyat di negara ini semakin tenat akibat pandemik Covid-19 sehingga ada individu sanggup mencuri dua biji tomato dan halia kerana kelaparan.
Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin), Datuk Ameer Ali Mydin berkongsi satu insiden menjentik hatinya yang berlaku di salah sebuah rangkaian pasar raya miliknya.
“Sebelum ini biasanya kita nampak di Mydin orang curi barang elektrik seperti televisyan atau benda mahal tapi sebab mereka itu memang seorang pencuri. Mereka mencuri sebab mahu jual semula barang tersebut.
“Tapi dalam situasi sekarang pun masih ada orang yang mencuri tapi dia ambil makanan dan bukanlah benda mahal, dia ambil sayur.
“Saya lihat dia ambil dua biji tomato dan sedikit halia, saya tanya pada orang itu kenapa ambil tomato? Dia kata untuk masak dan memang dia sangat malu ketika saya bertanya.
“Jadi orang seperti ini sebenarnya dia sedang kelaparan, sebab itu saya rasa kita perlu buat sesuatu untuk bantu rakyat yang sedang dalam kesusahan,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Terdahulu beliau yang mewakili Persatuan Perniagaan Masjid India (MIBA) bersama Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah menyampaikan sumbangan berupa bakul makanan kepada penerima yang terkesan akibat pandemik Covid-19 di ibu kota.
Dalam sesi tersebut, sebanyak 200 bakul makanan diagihkan kepada penerima yang menetap di sekitar Dang Wangi serta kawasan-kawasan berhampiran.
Mengulas lanjut, Ameer Ali berkata, tidak semua individu yang susah mahu tampil secara sukarela bagi meminta bantuan kerana dalam sesetengah situasi mungkin mereka berasa malu.
Jadi beliau berkata, tidak mustahil ada dalam kalangan rakyat yang tercicir daripada menerima bantuan yang disalurkan kerajaan.
“Kita tidak nafikan memang kerajaan salur jutaan malah berbilion ringgit tapi mungkin tak semuanya akan sampai kepada rakyat di seluruh pelosok, mungkin ada yang terlepas pandang walau seberapa daya pun mereka cuba,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Ameer Ali yang juga Presiden Persatuan Peruncit Bumiputera memohon kerajaan memberi kelonggaran terhadap sektor-sektor perniagaan yang masih belum dibenarkan untuk beroperasi ketika tempoh Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
“Marilah kita tengok apa yang boleh dibuka dan ikut prosedur operasi standard (SOP). Jangan kita hanya cakap itu keperluan (essential services) dan ini bukan keperluan. Contohnya tempat cuci kereta, kenapa mereka tidak boleh beroperasi? Ia hanya untuk cuci kereta, mungkin ia bukan keperluan?
“Sekarang kita lihat kedai pajak boleh dibuka tetapi kedai emas pula terpaksa tutup operasi. Kedai pajak boleh ikut SOP, kenapa tidak kedai emas?
“MKN (Majlis Keselamatan Negara) dan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin), janganlah terus menyusahkan peniaga-peniaga ini, mereka semua ingin mencari rezeki yang halal.
“Biar kami usaha sendiri, bukannya mengharap bantuan dari kerajaan, kami tidak mahu duit, cuma mahu cari rezeki sendiri. Kita akan ikut SOP, kalau tidak samanlah kita, tutuplah kedai kita,” katanya. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan