Minderjeet Kaur dan Faye Kwan
Mohammad Alshatri (depan, kanan) dan anggota kumpulannya di depan Balai Polis Dang Wangi hari ini.
KUALA LUMPUR: Tiga anggota gerakan kontroversi Bendera Hitam yang dikenakan kompaun RM2,000 setiap seorang kerana perhimpunan bantahan semalam menyuarakan rasa “terkejut” dengan tindakan pantas polis memberikan penalti itu.
Tindakan polis itu, kurang 24 jam selepas acara berkenaan, turut mengejutkan MUDA yang menganggapnya jelas membuktikan tindakan dwistandard berbanding penalti melibatkan menteri dan golongan VIP lain.
Seorang penunjuk perasaan terlibat, Mohammad Alshatri berkata, mereka disoal selama tiga jam dari 9 pagi tadi di Balai Polis Dang Wangi, di sini.
“Sebaik selesai mereka mengeluarkan kompaun RM2,000.
“Kami terkejut apabila terus mendapat notis denda kerana itu tidak berlaku dengan VIP yang begitu terbuka melanggar SOP Covid-19.
“Bila melibatkan mereka, polis berkata mereka akan menyiasat malah mengambil masa beberapa minggu atau bulan sebelum notis kompaun dikeluarkan,” katanya kepada FMT.
Mohammad berkata, kumpulan itu akan berbincang dengan peguam mereka terlebih dulu sebelum memutuskan sama ada akan mencabar notis kompaun berkenaan di mahkamah. Dua lagi yang turut dipanggil polis hari ini adalah Mohd Asraf dan Taufiq Azhar.
Sementara itu, Mohammad menambah, anggota bantahan itu di Dataran Merdeka semalam mematuhi penjarakan sosial, memakai pelitup muka berganda serta pakaian yang mampu memberikan perlindungan seperti ‘overalls’ untuk menghalang penularan Covid-19.
“Kami mematuhi semua SOP,” katanya.
Menurut polis, kira-kira 20 golongan muda telah berhimpun di Dataran Merdeka untuk memprotes terhadap pengurusan wabak Covid-19 oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Sekitar 40 orang dilihat mengibarkan 14 bendera hitam dan membawa kain rentang dengan tanda pagar #KeluarDanLawan malah berdiri di depan beberapa “mayat”.
Wakil penganjur acara itu, Sekretariat Solidariti Rakyat, berkata protes berkenaan berlangsung selama 40 minit.
Polis tiba ketika penunjuk perasaan sedang membacakan kenyataan, dan mereka bersurai secara aman selepas itu.
Dalam kenyataan, MUDA berkata penunjuk perasaan terlibat didenda RM2,000 setiap seorang, kurang 24 jam selepas acara itu.
Katanya, sebaliknya polis mengambil berminggu-minggu sebelum bertindak terhadap Menteri Besar Kedah kerana pandu uji yang dibuat ketika tempoh perintah kawalan pergerakan.
Tambahnya, kes melibatkan Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa pula dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara, manakala beberapa ahli politik lain juga ‘terlepas’ walaupun mengadakan pesta durian ketika sekatan pergerakan.
MUDA turut menyokong penuh tuntutan penunjuk perasaan terlibat, iaitu supaya Perdana Menteri meletak jawatan, sesi Parlimen penuh bersidang, serta moratorium pinjaman automatik untuk semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan