"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Awas 6000 akan ke CAC Stadium Melawati Rabu ini jika perubahan tidak dibuat

BORHAN AHMAD

Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Stadium Melawati, Shah Alam bakal berdepan kebanjiran pesakit Covid-19 Rabu 21 Julai ini apabila lebih 6,000 pesakit dijangka akan ke situ, sehari selepas cuti hari raya Aidil Adha.

Menurut sumber pihak pengurusan CAC Stadium Melawati, jumlah pesakit itu diperolehi berdasarkan jangkaan mereka terhadap data-data temujanji yang mereka perolehi dari pesakit Covid-19 di Daerah Petaling dan sekitarnya.

Jika ini berlaku bermakna, sejarah hitam CAC Stadium Melawati itu akan berulang lagi sebagaimana Isnin 12 Julai lalu apabila 4500 pesakit ke CAC itu untuk membuat penilaian sakit mereka.

Keadaan di dalam CAC Stadium Melawati 12 Julai lepas penuh sesak. Ia akan berulang jika pendekatan baharu tidak diambil segera.

CAC Stadium Melawati, yang terbesar di negara ini, diuruskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan mengambil alih bangunan Stadium Melawati melalui Perintah Darurat manakala kerajaan negeri pula telah membantu melengkapkan lagi stadium ini bagi  membantu KKM.

“Jika 4,500 pesakit sudah menyebabkan berita mengenai Malaysia sampai ke antarabangsa, saya tidak tahu apa akan berlaku jika 6,000 orang ini menyerbu CAC Stadium Melawati Rabu ini,” kata beliau kepada Malaysia Dateline dengan syarat namanya tidak disiarkan.

Orang ramai beratur dari pagi hingga petang di luar Stadium Melawati 12 Julai lepas. Ia bakal berulang Rabu ini jika tidak ada perubahan dibuat.

Menurut beliau, Pengerusi Selangor Task Force for Covid-19, (STFC) Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Exco Kesihatan Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud sudah berkali-kali memberikan pandangan agar pesakit Covid-19 kategori 1 dan 2 tidak perlu datang ke CAC.

Mereka sepatutnya membuat kuarantin kendiri di rumah masing-masing dengan pemantauan ketat  melalui aplikasi yang sesuai termasuk Selangkah yang dibangunkan oleh kerajaan negeri.

“Jika pesakit Cat 1 dan 2 serta yang mahu membuang gelang kuarantin mereka tidak datang ke CAC, kita boleh kurangkan tekanan di CAC Stadium Melawati ini.

“Ini kerana, lebih 95 peratus pesakit Covid-19 yang datang adalah dari kategori ini.

“Tetapi jika ia kekal sebagaimana yang ada sekarang, kami jangka 6000 pesakit akan ke CAC ini Rabu ini,” kata beliau lagi.

Pesakit Kategori 1 & 2 (tiada keradangan paru-paru) yang berjumlah lebih 95 peratus daripada kes harian, adalah mereka yang disahkan positif Covid-19, tetapi tiada langsung simptom, atau hanya mendapat ‘mild symptoms’ (ringan) seperti demam, batuk, selsema, sakit tekak atau hilang deria rasa.

“Sepatutnya mereka tidak perlu ‘diarahkan’ datang ke CAC kerana ia akan menambah beban tugasan yang amat berat pada pengurusan CAC, dan juga frontliner yang terlibat,” katanya.

Menurut beliau, Kerajaan Negeri Selangor  telah membangunkan applikasi ‘Selangkah’ pada 5 Mei 2021 yang mempunyai kemampuan utama ‘contact tracing’ dan fungsi ‘home assessment tools‘.

Ekoran kekecohan yang berlaku pada 12 Julai lalu, apabila 4,500 pesakit ke CAC Stadium Melawati, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba terpaksa turun ke situ bersama Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan dan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Chong Chee Kheong.

KKM seterusnya telah membuat keputusan baru melalui sidang media oleh Dr Chong keesokan harinya dan mengumumkan bahawa Kerajaan Persekutuan telah bersetuju menimbangkan gesakan Kerajaan Selangor melalui STFC itu untuk pesakit Kategori 1 dan 2 yang tidak bergejala atau bergejala ringan itu dikecualikan daripada hadir ke mana-mana CAC. 

“Pemantaun kes-kes tersebut (Pesakit yang tidak bergejalan atau bergelajanringan) akan diadakan secara maya tanpa keperluan menghadiri secara fizikal ke CAC.

“Pesakit juga akan dibekalkan dengan ‘home surveillance order’ secara digital melaui applikasi Mysejahtera atau lain-lain applikasi dan ianya sah dari segi undang-undang Malaysia,” ujar Dr Chong.

Namun begitu tidak dapat dikenalpasti apakah pesakit Kategori 1 dan 2 ini tidak lagi akan datang ke CAC Rabu ini.

Ekoran kekecohan yang berlaku pada 12 Julai, KKM telah membuka lebih banyak CAC di seluruh Selangor.

Tiada ulasan: