Terpedaya ‘love scam’ wang simpanan 36 tahun melayang
Bernama
ALOR SETAR: Seorang pesara jururawat hospital kerajaan kerugian RM326,586 setelah diperdaya sindiket ‘Love Scam’ sejak Mac lepas.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, Elias Omar berkata, ia bermula apabila wanita berumur 62 tahun dari Mergong, di sini berkenalan dengan individu menggunakan akaun Facebook dengan nama ‘Lucas Cai’.
Beliau berkata, pada awalnya wanita itu beranggapan pengguna bernama ‘Lucas Cai’ itu adalah anak saudaranya, dan telah mula berhubung dengan lelaki berkenaan yang memperkenalkan diri sebagai ‘Lucas’ dari United Kingdom, jurutera di sebuah syarikat di Ireland Utara.
“Sepanjang perkenalan mereka, suspek telah meminta pertolongan dari segi sumber kewangan kerana kononnya projek serta tender yang dilakukan suspek membabitkan ‘pembaikan slinder pam’ telah rosak, dan perlu ditukar baru,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Katanya wanita itu telah membuat empat transaksi bayaran secara berperingkat ke tiga akaun berbeza di sebuah bank di Alor Setar antara 18 Mac dan 19 April yang berjumlah RM326,586.
“Wanita itu menggunakan wang yang disimpan hasil 36 tahun bekerja serta simpanan wang insurans, dan hanya sedar dirinya ditipu selepas melihat laman sesawang di dalam Google, terdapat dua orang individu lain yang ditipu dengan menggunakan modus operandi yang sama.
Beliau berkata wanita itu telah membuat laporan polis di Alor Setar, semalam, dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan