"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

'Kluster menteri' buat keputusan songsang - ahli MT Umno

Malaysiakini 

Umno perlu tegas mempertahankan pendirian parti itu meskipun hanya tinggal tiga orang saja yang sanggup berbuat demikian, kata Mohd Puad Zarkashi.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno itu berkata, ketika ini ada pemimpin parti itu yang sanggup menjadi "power broker" yang didakwanya mahu menjual parti dengan berunding tanpa restu presiden.

Begitu juga katanya berkenaan tindakan menteri Umno yang tidak mengikut keputusan parti agar menarik sokongan daripada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Semua tindakan itu, kata Mohd Puad, digerakkan oleh keinginan mereka mahu mengekalkan jawatan yang ada dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekarang.

“Terbaru, MT putuskan untuk menarik balik sokongan kepada perdana menteri. Tetapi ‘kluster menteri’ pula buat keputusan songsang. Mereka sokong perdana menteri.

“Rakyat dijadikan alasan. Pandemik dijadikan alasan. Perpecahan Melayu dijadikan alasan dan peruntukan kawasan juga jadi alasan,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya hari ini.

Pada 8 Julai lalu, Umno menggesa Muhyiddin berundur daripada jawatannya selepas MT parti itu membuat keputusan untuk menarik sokongan terhadap presiden Bersatu itu.

Keputusan itu diumumkan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi selepas mesyuarat MT Umno yang berlangsung secara dalam talian.

Katanya keputusan itu dibuat berpandukan tujuh kegagalan kerajaan PN sebelum ini.

Mohd Puad berkata ketika ini Umno dilihat semakin berpecah dengan banyak keputusan kepimpinan parti ditentang dan tidak dipatuhi oleh ahlinya sendiri.

Oleh itu dia menggesa kepimpinan Umno supaya tegas menghentikan gejala tidak sihat yang sedang melanda parti sekarang ini.

“Umno perlu tegas. Tinggal 10, sepuluhlah. Tinggal tiga, tigalah," katanya sambil memetik nama Umno Sabah sebagai contoh terbaik bagi menunjukkan ketehasan parti.

Jelasnya, seramai 21 ketua Umno Sabah meninggalkan parti selepas BN gagal mendapat mandat untuk menjadi kerajaan semula pada PRU 2018.

Ketika itu kata Mohd Puad, hanya tiga pemimpin Umno yang tinggal iaitu Bung Moktar Radin; Raime Unggi; dan Yakub Khan.

“Mereka yang lari itu bukan kecil anak. Sembilan ahli dewan undangan negeri (Adun), lima ahli parlimen dan dua senator. Bukan calang calang. Umno umpama habis madu sepah dibuang.

“Tetapi adakah Umno Sabah tersungkur? Ahli dan pemimpin bawahan tidak lari. Timbalan, naib, ketua wanita dan ketua pemuda tampil menggalas tugas ketua bahagian yang lari,” katanya lagi.

Tiada ulasan: