"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Enam warga asing melecur dapur gas meletup

Rosli Ilham
am@hmetro.com.my

SALAH seorang mangsa yang melecur dihantar ke Hospital Kuala Terengganu. FOTO Rosli Ilham.
SALAH seorang mangsa yang melecur dihantar ke Hospital Kuala Terengganu. FOTO Rosli Ilham.
Dungun : Enam lelaki warga Nepal dan seorang warga Bangladesh melecur teruk selepas dapur gas di rumah kongsi mereka di Felda Kerteh 2, secara tiba-tiba meletup malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam, kesemua mangsa dikatakan sedang memeriksa sebuah dapur selepas tercium bau gas yang kuat di tempat kejadian.

Mereka yang cedera ialah, Ganesh Pariyar, 21, Surendra Kumar Yadav, 39, Hari Narayan Yadar,38, Jhuplal Pun,37, Lal Bahadur Sidali,24, dan seorang warga Bangladesh, Islam Mohammad Tajur, 37.

Diplay Kumar Yadar,23, ditahan wad di Hospital Dungun untuk rawatan lanjut sementara Baijanath Khatbe,39, dan Nadhal Sah Haluwai,41, diberi rawatan sebagai pesakit luar.

Seorang mangsa, Baijanath Khatbe, 39, berkata, ketika kejadian, dia bersama 19 rakan lain sedang berehat di rumah kongsi terbabit selepas selesai makan malam.

Menurutnya, sebelum kejadian, seorang daripada mangsa tercium bau gas yang kuat di bahagian dapur sebelum membuat pemeriksaan.

"Ketika membuat pemeriksaan, rakan gagal mengesan punca bau gas itu sebelum memanggil rakan lain untuk membantu.

"Saya ketika itu bersama lapan rakan pergi ke dapur membuat pemeriksaan dan ketika itu, saya berada di belakang rakan-rakan lain," katanya.

Katanya, tiba-tiba berlaku letupan yang sangat kuat sebelum api besar menyambar dan ketika itu keadaan mereka semua terduduk di lantai .

"Saya tidak tahu bagaimana letupan itu boleh berlaku, kerana ketika itu tiga rakan sedang cuba membaiki dapur gas.

"Kami ketika itu panik kerana masing-masing mengerang kesakitan sebelum rakan-rakan lain yang sudah masuk tidur bergegas ke dapur membantu kami," katanya yang melecur pada bahagian bahu kanan.

Sementara itu, Nandlal Sah berkata, berikutan kejadian itu, dia bersama kesemua mangsa yang melecur dihantar majikan mereka ke Hospital Dungun.

Katanya, dia bersama rakan-rakannya itu baru empat hari datang ke situ untuk bekerja sebagai buruh di ladang kelapa sawit.

Menurutnya, letupan itu sangat kuat sehingga menyebabkan dia melecur di bahagian muka, kedua-dua belah kaki dan tangan.

"Saya tidak tahu bagaimana kejadian itu boleh berlaku sehingga mengeluarkan api yang sangat besar dan menyambar kami semua," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Menurutnya, mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu.

"Seorang mangsa pula ditahan di wad Hospital Dungun untuk rawatan lanjut manakala dua lagi yang melecur ringan diberi rawatan sebagai pesakit luar," katanya.

Tiada ulasan: