"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pelakon ditahan pandu melulu selepas gaduh dengan kekasih

Nurul Hidayah Bahaudin

nurul.hidayah@hmetro.com.my
WANITA (dalam bulatan) yang tercampak dari kenderaan selepas Perodua Myvi dipandu kekasihnya terbabit kemalangan. FOTO Ihsan Pembaca.

WANITA (dalam bulatan) yang tercampak dari kenderaan selepas Perodua Myvi dipandu kekasihnya terbabit kemalangan. FOTO Ihsan Pembaca.
Ampang Jaya: Tindakan seorang selebriti memandu kereta secara melulu menyebabkan seorang penumpang wanita tercampak keluar dari kenderaan itu dalam kemalangan di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) Hulu Kelang berhampiran jejambat susur Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE), dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kemalangan yang turut tular di media sosial membabitkan dua kenderaan itu berlaku jam 5.30 petang.

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Perodua Myvi dipandu selebriti lelaki yang juga pelakon sambilan berusia 30 tahun itu menukar lorong secara zigzag hingga hilang kawalan.

"Kereta itu kemudian hingga terlanggar bahagian sisi kiri sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Innova," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Farouk berkata, pelanggaran itu turut menyebabkan penumpang hadapan yang juga kekasihnya berusia 25 tahun tercampak keluar dan mengalami cedera ringan.

"Siasatan awal mendapati kemalangan itu berlaku akibat kecuaian pemandu Perodua Myvi yang memandu secara melulu sehingga menyebabkan kemalangan.

"Difahamkan ketika kejadian, lelaki itu bertengkar dengan kekasihnya yang juga penumpang wanita yang tercampak dalam kejadian itu," katanya.

Beliau berkata, pemandu kedua-dua kenderaan itu sudah tampil membuat laporan, hari ini.

"Pemandu Myvi itu ditahan untuk siasatan lanjut. Permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Pencegahan Jenayah (KPJ) akan dipohon, esok.

"Hasil ujian awal air kencing dilakukan terhadap suspek berkenaan didapati negatif dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Orang ramai yang menyaksikan kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, Inspektor Nur Nadzirah Abdul Rahim di talian 012-4401093 bagi membantu siasatan," katanya.

Terdahulu, satu video berdurasi 42 saat yang menunjukkan sebuah kereta Perodua Myvi dipandu secara melulu di MRR2 tular di media sosial, hari ini.

Tiada ulasan: