"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

'Banjir paling teruk, air memang deras'

Noorazura Abdul Rahman
am@hmetro.com.my
ROSLAN menunjukkan kereta pelanggan yang dihanyutkan arus deras. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Baling: Kejadian banjir kali ini dianggap paling teruk dalam sejarah sebahagian penduduk di Kampung Iboi dan Kampung Bukit Iboi di sini, apabila kawasan tinggi turut dinaiki air berikutan air dari anak sungai di banjaran Gunung Inas turun dengan deras.

Pemilik bengkel, Roslan Hassan, 45, berkata, sepanjang 23 tahun menetap di situ, banjir malam tadi adalah kejadian paling teruk pernah berlaku.

Menurutnya, banjir juga berlaku terlalu pantas sehingga dia tidak sempat menyelamatkan kereta yang dihantar pelanggan ke bengkelnya apabila ia dihanyutkan air deras.

"(Limpahan) air kali ini bukan dari Sungai Kupang tapi dari anak sungai atau kami panggil 'charuk' dari gunung, air memang deras.

"Air mula melimpah kira-kira 7.40 malam, 20 minit saja air sudah naik hingga ke paras setengah meter, air sangat deras hingga menghanyutkan lima kereta dan dua van milik pelanggan di bengkel saya," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Penduduk Kampung Iboi, Rahmah Abdul Rahman, 67, pula berkata, buat kali pertama air melimpah ke rumahnya akibat banjir semalam selepas parit yang menjadi saliran air dari anak sungai di banjaran gunung pecah dan memasuki kawasan kediamannya.

"Inilah banjir paling teruk saya dan keluarga pernah hadapi, ketika banjir puing pada 4 Julai tahun lalu, air tidak masuk ke kawasan rumah.

"Saya harap kerajaan segera mendalamkan parit di sini. Air terlalu deras, parit di sini sudah cetek dan tidak mampu menampung kelajuan air yang turun dari gunung," kata ibu kepada enam anak ini.

Tiada ulasan: