"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hidup mesti ada prinsip, brader!

Ronasina

“Lu sokong parti apa brader?” saya tanya dia.

“Yang berprinsip! Lu pulak?” jawab kawan saya dan memulangkan semula soalan. Hmm… yang berprinsip.

Ya, prinsip. Hidup kita ini setiap hari akan diganggu dengan berbagai cabaran di sekeliling. Selagi bernama hidup maka setiap kali celik mata pada awal pagi sehinggalah hendak tidur pada waktu malamnya kita akan berdepan dengan sejuta kerenah kehidupan yang bakal meletakkan kita di kelas mana dalam dunia ini. Atas sebab itulah wujudnya istilah ‘prinsip’. Definisi prinsip menurut Kamus Dewan ialah asas atau dasar (yang menjadi pokok se­suatu pemikiran, kajian, tindakan dan lain-lain). Prinsip inilah yang menentukan pendirian atau pegangan seseorang dalam menjalani kehidupan. Kejujuran pada diri sendiri kunci utama dalam pegangan hidup bagi mereka yang mendakwa mempunyai prinsip.

Bagi yang beragama, prinsip hidup mereka berpaksi pada keimanan. Okey, perkataan keimanan mungkin menakutkan sebahagian orang. Kita gunalah perkataan yang sama maksudnya iaitu ‘kepercayaan’. Kepercayaan yang kukuh menjadi landasan bagi mereka yang beragama untuk menegakkan prinsip tetapi itu tidak bermakna kita boleh lepas mudah ketika menghadapi berbagai cabaran. Ia berlapis-lapis dan sulit. Semakin kuat kita memegang prinsip semakin hebat cabaran datang untuk menggugat. Prinsip bermakna seseorang itu ada satu pendirian yang teguh sebagai pegangan dalam usaha untuk mencapai kejayaan yang dicita-citakan.

Persoalannya, kepada siapakah hendak dibuktikan oleh kita dengan prinsip yang kita pegang dan kita pertahankan itu? Kepada diri sendiri atau untuk ditunjukkan oleh pihak lain? Siapa yang peduli jika prinsip yang kita pegang untuk diri sendiri telah kita gadaikan? Siapakah yang kisah kalau kita bersusah-payah menderita demi mempertahankan prinsip?

Andaikan anda sedang memandu pada waktu malam yang sunyi dan tiada kenderaan lain ketika itu. Anda berada di simpang empat yang ada lampu isyarat. Apakah anda setia menunggu sehingga lampu isyarat merah bertukar hijau untuk anda teruskan perjalanan? Itu undang-undang yang perlu dipatuhi selari dengan prinsip hidup anda, atau anda langgar sahaja kerana pada waktu itu ia tidak berbahaya lantaran tiada kenderaan lain di kiri dan kanan? Ini hanya satu ujian kecil sahaja tetapi ia berupaya menjadi pengukur untuk menilai sebuah prinsip. Itu belum lagi dalam situasi lain yang memberi maksud jika langgar prinsip ia akan memberikan keuntungan.

Baiklah, yang berikut ini pula merupakan satu situasi yang lebih berat. Katakanlah anda seorang pegawai penguatkuasa lalu-lintas yang sedang menjalankan tugas. Anda berhadapan dengan seorang pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan. Cukai jalan kenderaan dia sudah luput tarikh. Sebagai pegawai penguatkuasa anda berhak ambil tindakan kompaun tetapi si pesalah merayu-rayu atas sebab yang dia rasakan betul. Di manakah pendirian anda? Nak saman, kasihan. Tak ambil tindakan bermakna anda melepaskan seseorang yang terdedah dengan kemungkinan-kemungkinan bahaya lain. Ya! Budi-bicara. Tetapi apakah budi-bicara ini bagus atau buruk kesan kemudiannya? Berbalik kepada soal prinsip, sudah pasti anda wajib menjalankan tugas anda dengan sebaiknya. Itu tanggungjawab anda sebagai seorang yang memegang teguh pada prinsip. Tapi bagaimana jika anda si pesalah pula? Adakah anda akan bermati-matian tidak mahu mengaku salah?

Bagi saya, sebagai seorang yang berprinsip, walaupun mempunyai sebab tertentu tetapi salah tetap salah. Saya wajib bertanggungjawab di atas kesalahan itu. Maka, sakit atau tidak saya harus menerima hukuman. Tetapi hidup ini bukan macam dalam hikayat indah-indah. Selalunya situasi sebegini akan mengheret kita ke situasi lain yang cukup mencabar prinsip. Aku tolong kau, kau tolong aku. Aku setuju hulur sikit, engkau setuju terima. Sama-sama setuju, tiada saksi lain nampak. Kita sama kita sahaja. Selesai! Lalu, ada siapa kisah tentang pegadaian prinsip? Bagi diri kita sendiri selepas itu wujudkah rasa bersalah? Lenakah tidur? Di situlah jawabannya.

Prinsiplah kunci integriti diri kita. Sebab itu menghayati prinsip hidup itu penting. Banyak peribahasa lama dianjurkan oleh orang dahulukala bagi menggambarkan betapa pentingnya hidup berprinsip. Untuk hidup aman harmoni kita pegang ‘di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung’. Untuk selamat, kita ‘ikut arus yang mengalir’ atau ‘masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang harimau mengaum’. Ada juga falsafah bersifat humor berkenaan prinsip. Biar papa asal bergaya, misalnya. Bagi yang ingin berjaya pula mereka kata ‘genggam bara api biar sampai jadi arang’. Jangan jadi seperti lalang, ke mana angin bertiup ke situlah ia mengikut. Macam-macam!

Dalam hidup kita yang digulat isu politik 24 jam sehari kita tidak dapat tidak wajar mempunyai prinsip dalam menentukan sokongan. Sudah tentulah kita memilih untuk menyokong parti politik yang komited membela kebajikan kita. Kita mengangkat pemimpin yang berusaha menentang rasuah kerana rasuah punca utama keruntuhan moral, masyarakat, dan negara. Pemimpin, parti, dan kerajaan yang teguh mempertahankan prinsip itulah antara ciri utama pilihan kita.

Namun kita menjadi bingung pula apabila melihat perangai politikus-politikus yang tuduh-menuduh dan label-melabel. Apa cerita? Pihak A mengata pihak B tidak berprinsip. Pihak B pun membalas semula dengan benda yang sama. Kita pun… eh macam mana ni? Mana satu nak sokong?

Kata saya, “gua tak sokong mana-mana.”

“Mana lu punya prinsip, bro?” bangkang kawan saya yang merupakan seorang pemimpin parti politik di peringkat negeri.

“Itulah prinsip gua. Tidak menyokong mana-mana dan tidak membenci mana-mana,” kata saya.

“Kita mesti ada prinsip, brader. Nak tak nak kita mesti berpihak juga. Antara syurga dan neraka, tidak ada di tengah-tengah. Kena pilih salah satu daripadanya.”

“Pulak! Macam tu ke brader?” tanya saya.

Dalam hal-hal politik bolehkah kita berkata yang kita ini berkecuali? Yang baik jika dibuat oleh kerajaan kita sokong. Yang tak baik kita tentang. Yang molek dicadangkan oleh pembangkang kita setuju tetapi yang mengarut daripada pembangkang kita tolak. Bolehkah? Apakah wajib kita berpihak kepada mana-mana salah satu daripadanya?

“Mesti. Hidup mesti ada prinsip, brader!” kata dia. Saya jem!

Tiada ulasan: