"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Qazaf: Jawi akan siasat Radzi Jidin, terima empat laporan

HarapanDaily.com

Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (Jawi) akan menyiasat Ahli Parlimen Putrajaya Datuk Radzi Jidin kerana melakukan kesalahan qazaf terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perkara ini disahkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mohd Na’im Mokhtat yang turut mengesahkan empat laporan berkaitan telah diterima Jawi.

“Yang pertama berkaitan isu yang melibatkan Datuk Seri Radzi Md Jidin terhadap Perdana Menteri ketika dalam Parlimen.

“Yang kedua ada satu lagi laporan yang dibuat Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) terhadap posting yang dinisbahkan kepada ‘Ustaz Dasuki’ (Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani), yang ada menyebut perkataan peliwat,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Bersama Pelajar Baharu Tajaan Skim Pembiayaan Hafiz (SPH) di sini hari ini.

“Apabila ada laporan dikemukakan, siasatan akan dijalankan sama ada laporan dibuat kepada polis atau penguatkuasa Jawi.

“Semasa siasatan dijalankan, pihak-pihak berkaitan iaitu saksi akan dipanggil oleh pihak penguatkuasa agama dan di situ laporan (keterangan) akan disediakan.

“(Kenyataan dibuat dalam sidang Parlimen). Siasatan kena jalan bila ada aduan. Persoalan sama ada untuk diteruskan pendakwaan sebab kenyataan dibuat di Parlimen, itu persoalan lain dan itu akan diputuskan oleh pendakwaan nanti,” jelas beliau.

Siasatan akan dijalankan di bawah Akta Tatacara Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.

Radzi menuduh Anwar sebagai peliwat ketika bertikam lidah dengan Anwar yang juga Menteri Kewangan membuat penggulungan perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 pada 19 September di Dewan Rakyat.

Qazaf merujuk perbuatan pengataan palsu terhadap mana-mana orang yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sekiranya Radzi dihukum denda melebihi RM2,000 beliau akan hilang kelayakan dan pilihan raya kecil perlu diadakan di Putrajaya.

Tiada ulasan: