"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

“Abang tiri hanya lihat adik lemas di kolam renang tanpa ada usaha selamatkannya”

Buletintv3
Sumber video tular
KAJANG: Rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian lemas membabitkan kanak-kanak perempuan berusia empat tahun di sebuah apartmen di Bangi pada 13 September lalu menunjukkan abang tiri mangsa berada di situ dan hanya melihat kejadian berkenaan tanpa membantu menyelamatkannya.

Susulan itu, polis menahan lelaki berusia 26 tahun itu pada Ahad lalu bagi membantu siasatan kes kematian kanak-kanak itu yang lemas dalam kolam renang di apartmen berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, penahanan abang tiri mangsa itu dibuat hasil penelitian berdasarkan rakaman CCTV di lokasi kejadian yang baru dapat diakses pihaknya.

“Penelitian dijalankan berdasarkan CCTV itu mendapati ketika kejadian, suspek yang juga abang tiri mangsa dilihat leka melakukan sesuatu sambil melihat saja mangsa yang sedang lemas di kolam renang tanpa bertindak melakukan sesuatu untuk menyelamatkannya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Zaid berkata, pihaknya sebelum itu menerima laporan berkaitan kejadian daripada pegawai perubatan Hospital Serdang yang menerima mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri pada 13 September lalu.

“Siasatan mendapati dalam kejadian sekitar jam 3 petang itu, mangsa maut selepas dipercayai lemas ketika mandi di apartmen itu sebelum dibawa ke klinik dan kemudian dirujuk ke Hospital Serdang, bagi rawatan selanjutnya.

“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira jam 1 tengah hari 14 September selepas mendapatkan rawatan dan kes pada awalnya diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR),” katanya.

Mohd Zaid berkata, suspek yang berumur 26 tahun itu ditahan sepasukan anggota polis dari Cawangan D7, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, bagi siasatan lanjut berkaitan kejadian.

“Kes disiasat dan diklasifikasi mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi mana-mana balai polis berdekatan atau terus menghubungi pegawai penyiasat kes itu, Inspektor Muhammad Azrul Nizam Zainal Abidin di talian 016-9985730 bagi membantu siasatan,” katanya.

Tiada ulasan: