FMT Reporters
PETALING JAYA: Seorang pemandu teksi ditahan polis selepas dikesan membawa lima penumpang disyaki pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Myanmar di Pekan Changlun, Alor Setar.
Lelaki berusia 60 tahun itu dikatakan bertindak sebagai ‘transporter’ atau pengangkut untuk membawa pati sebelum ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Kubang Pasu dan Balai ICQS Bukit Kayu Hitam petang Khamis lalu.
Ketua Polis Kedah, Fisol Salleh, berkata penumpang termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun itu dibawa menaiki sebuah Perodua Axia.
“Hasil pemeriksaan menemui seorang lelaki warga Myanmar di penumpang hadapan manakala di bahagian belakang kenderaan itu terdapat tiga wanita dan seorang kanak-kanak lelaki Myanmar.
“Semua warga asing terbabit tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah,” katanya pada sidang media di IPK Kedah hari ini, menurut Berita Harian.
Beliau berkata semua Pati yang ditahan itu berusia lingkungan lima hingga 37 tahun dan empat telefon bimbit turut dirampas untuk tindakan lanjut.
Katanya, susulan tangkapan itu, polis melakukan serbuan di rumah tidak bernombor itu di kawasan kebun getah di Kampung Cheruk Mokkan, Changlun pada 5.45 petang.
“Hasil serbuan itu, tiga lagi Pati warga Myanmar yang berada dalam rumah itu termasuk dua lelaki dan seorang wanita ditahan untuk siasatan,” katanya.
Menurutnya, siasatan mendapati rumah terbabit disyaki menjadi transit untuk warga Myanmar yang baru masuk ke Malaysia.
“Suspek dipercayai mengambil Pati terbabit di belakang sebuah restoran makanan segera di Pekan Changlun untuk dihantar ke rumah transit berkenaan di Kampung Cherok Mokkan.
“Suspek menerima panggilan daripada seorang lelaki Myanmar yang dikenalinya yang meminta suspek mengambil Pati berkenaan di lokasi berkenaan di Pekan Changlun.
“Dia dipercayai diupah RM50 untuk seorang Pati yang dibawanya. Malah suspek turut mengaku pernah menjadi transporter sebanyak empat kali sepanjang bulan ini untuk dihantar ke rumah transit berkenaan,” katanya.
Fisol berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 26A Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670) untuk tekong berkenaan manakala semua Pati yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan