Mohsin Abdullah
Persoalan yang diaju tajuk artikel ini ialah kita undi calon atau parti apabila membuat pilihan di peti undi. Ia bukan persoalan baharu. Tetapi oleh kerana iklim politik negara masih panas (kalau sudah reda, rasanya masih suam) elok ditimbulkan walaupun sekadar peringatan.
Tidak dinafi faktor calon amat penting diambil kira. Yang dicari ialah orang yang rajin, bijak, yang boleh deliver, tidak terpalit skandal, dan bebas rasuah. Bagi sesetengah pengundi, kriteria termasuk takut kepada Tuhan dan patuh ajaran agama. Menurut mereka jika takut kepada Tuhan semua kriteria lain yang disebut tadi akan fall into place.
Betul tetapi bab calon warak menjadi pilihan akan menyaksikan calon berlagak alim walaupun tak alim. Agama diperguna demi undi. Takpa itu soal lain.
Ada politikus atau yang mahu jadi politikus menawarkan diri sebagai calon untuk berkhidmat. Ini golongan calon bebas yang mendakwa bosan dan tidak percaya mana-mana parti politik lalu bertanding pilihan raya bersendirian. Tidak dinafikan ada di antara mereka jujur dan ikhlas mahu laksana apa yang dikata tetapi sering calon bebas dikaitkan dengan unsur negatif seperti dituduh ditaja pihak tertentu, pengacau daun, pemecah undi atau jadi proksi. Untuk membuktikan itu semua memang sukar namun tuduhan terus dilempar.
Apa pun calon bebas biasanya tidak menang meskipun ada yang benar jujur. Tanpa sumber dan jentera pilihan raya mereka kalah. Sejak 2013, pilihan raya umum menyaksikan sejumlah besar calon bebas muncul yang mengakibatkan pertandingan pelbagai penjuru. Mengapa? Kita punya jawaban sendiri. Hakikatnya mereka semua gagal.
Ini bukan bererti calon bebas tidak pernah menjadi pilihan rakyat. Bagi saya, calon bebas paling cemerlang ialah Mohd Jabar Yusof atau lebih dikenali sebagai Cikgu Jabar. Saya pernah tulis mengenai beliau untuk FMT tiga tahun lalu. Dengan dana terhad (wang sendiri hasil penjualan tanah miliknya) dan dibantu pasukan kecil sukarelawan, Cikgu Jabar menang DUN Batu Laut di Selangor pada pilihan raya 1972, 1978, dan 1982. Hebat. Tetapi itu cerita lama.
Pada 1988 Shahrir Samad, akibat sengketa dalaman Umno, bertindak keluar parti dan melepaskan Parlimen Johor Bahru sekali gus membuka laluan untuk pilihan raya kecil diadakan. Beliau bertanding semula atas tiket bebas dan menang. Pun begitu kemenangannya disebabkan sentimen anti-Mahathir Mohamad, presiden Umno ketika itu. Shahrir dikatakan dibantu jentera Semangat 46 pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah. Ini juga cerita lama. Shahrir pun sudah kembali ke pangkuan Umno.
Pun begitu akibat langkah Shahrir mengosongkan kerusi untuk memaksa pilihan raya kecil diadakan, satu fasal dimasukkan ke dalam Perlembagaan yang menyebut seseorang wakil rakyat yang meletak jawatan (dan mengosongkan kerusi yang dimenangi) dilarang bertanding semula dalam mana-mana pilihan raya selama lima tahun. Sejak itu tidak ada wakil rakyat yang berani mengikut jejak langkah Shahrir.
Pada pilihan raya umum November lalu muncul beberapa individu bertanding sebagai calon bebas. Tidak terikat dengan mana-mana parti kerana mendakwa “parti politik tak boleh pakai” lalu menyarankan rakyat mengundi berdasarkan calon. Mereka terdiri daripada golongan teknokrat dan profesional yang agak terkenal, dihormati ramai, dan mempunyai kredibiliti namun semua tewas. Ada pelbagai faktor antaranya pengundi persoal bagaimana mereka mahu membawa perubahan yang dilaungkan secara individu. Ini kerana perubahan hanya boleh dibuat oleh sesebuah kerajaan yakni Ahli Parlimen secara berkumpulan dalam sesebuah parti yang milik majorti.
Realitinya rakyat negara ini mengundi parti. Bukan kriteria calon tidak penting tetapi parti menjadi pilihan kerana parti boleh membentuk kerajaan. Mereka juga yakin calon yang dikemukakan parti yang dipilih adalah baik. Kadangkala tepat kadangkala tidak.
Ada pihak berkata people make the party. Manusia yang menubuh parti, menggubal perlembagaan dan dasarnya. Semua dakwa parti mereka terpaling baik. Cuma masalahnya apabila dasar parti dilihat tidak sesuai dilaksanakan di negara ini dengan rakyat yang berbilang kaum dan agama. Masalah juga apabila dasar parti yang dilihat baik tidak dituruti orang parti sendiri yang tidak baik. Maka orang baik dalam parti lah yang mesti membaiki keadaan sebelum bencana menimpa.
Kesimpulannya rakyat selaku pemilih boleh tepuk dada tanya selera.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan