HarapanDaily.com
Seorang wartawan Palestin berkongsikan pengalaman sedihnya kehilangan ramai ahli keluarga ketika akses internet terputus di wilayah bergolak itu.
Fares Akram yang bekerja dengan agensi AP di Gaza, berkata beliau kehilangan 18 ahli keluarga besarnya akibat serangan udara pengganas Israel di kawasan rumah saudaranya di Gaza semalam.
Menurutnya yang juga menulis untuk Al Jazeera, gangguan komunikasi di Gaza menyukarkannya untuk mengesahkan keberadaan saudara-maranya.
“Tanpa sambungan internet dan telefon, ia mengambil masa 12 jam untuk mengesahkan bahawa 18 ahli keluarga besar saya kehilangan nyawa dan 18 lagi masih terperangkap di bawah runtuhan,” katanya di platform media sosial X.
Beliau dalam masa sama melampirkan senarai nama ahli keluarga besarnya itu sekaligus mengundang rasa simpati warganet.
Sementara itu, penyedia perkhidmatan internet dan telefon Palestin, Jawwal mengesahkan operasi mereka lumpuh akibat serangan pengganas Israel.
Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin pula memaklumkan terputus hubungan dengan semua pasukan yang bertugas di lapangan.
Hari ini, bilionair Elon Musk mengumumkan Starlink miliknya “akan menyokong sambungan kepada organisasi bantuan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa di Gaza.”
Pengumuman pengasas Tesla dan pemilik laman X itu susulan desakan warganet selepas jaringan telekomunikasi di wilayah bergolak itu terputus sepenuhnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan