"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bot habis minyak, suami isteri hanyut hingga ke Filipina

Hazsyah Abdul Rahman
am@hmetro.com.my
PASANGAN suami isteri selamat tiba di Jeti MARITIM MALAYSIA Sandakan. FOTO APMM
PASANGAN suami isteri selamat tiba di Jeti MARITIM MALAYSIA Sandakan. FOTO APMM
Sandakan: Suami isteri warga emas yang dalam perjalanan dari Terusan Sugut ke Batu Putih, di sini, berdepan detik cemas selepas bot dinaiki hanyut hingga ke perairan Filipina akibat kehabisan minyak, Ahad lalu.

Mangsa Md Asibih Tamang, 73, dan isteri Fatima Ulo, 65, dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan ke rumah anaknya di Kampung Batu Putih dengan menaiki bot gentian kaca kira-kira 8 pagi.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Zainudin Mohd Zuki berkata, pasangan itu sepatutnya tiba di rumah anak mereka dua jam kemudian.

Menurutnya, apabila mendapati pasangan itu tidak tiba pada waktu sepatutnya, menantu mereka membuat laporan kepada APMM berhubung kehilangan berkenaan.

"Selepas mendapat laporan dari Pusat Operasi (Pusop) Zon Maritim Sandakan, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kota Kinabalu mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) pada 6.30 petang hari yang sama.

"Bagaimanapun, pencarian pasangan itu ditamatkan selepas mereka dapat dihubungi dan dilaporkan berada dalam keadaan selamat di Pulau Mapun, Filipina, kelmarin.

"Mangsa diberikan bantuan oleh nelayan tempatan yang kemudiannya menghantar mereka pulang dengan menggunakan kapal nelayan dan diserahkan kepada APMM berhampiran Tanjung Pamaguan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pasangan itu kemudian dibawa ke Jeti Zon Maritim Sandakan untuk diserahkan kepada keluarga mereka, semalam.

Mengulas lanjut, Zainudin berkata, mangsa memaklumkan mereka menuju ke Batu Putih dengan menjadikan Pulau Tikus sebagai panduan, namun tersesat sehingga bot kehabisan minyak berhampiran Pulau Lankayan.

"Mereka kemudiannya mendapatkan bantuan petugas yang berada di Pulau Lankayan untuk mengisi minyak.

"Bagi mengelakkan daripada tersesat untuk ke destinasi yang dituju, petugas berkenaan menasihati mereka agar mengikuti sebuah kapal yang akan menuju ke Sandakan sebagai pandu arah.

"Bagaimanapun, selepas beberapa ketika mengikuti kapal berkenaan, Md Asibih memintas kapal terbabit dengan alasan ia bergerak terlalu perlahan dan khuatir berlakunya ribut.

"Malangnya tindakan itu membuatkan mereka tersesat dan bot kehabisan minyak semula sehingga hanyut ke Pulau Mapun, Filipina," katanya.

Tiada ulasan: