"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kekejaman tak terbatas Israel dan kemunafikan dunia

HarapanDaily.com

Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad

Semakin terhubungnya dunia dengan peperangan dan bencana seluruh dunia melalui media, semakin tidak prihatin serta acuh tak acuh sikap kita terhadap isu isu ini..

Dengan paparan media yang lebih terhad pada tahun 1960-an, kekejaman perang Vietnam membawa kemarahan dan protes awam yang cukup memberi impak.

Mungkin panca indera kita telah lali dibius sehingga kebas dengan jumlah pembunuhan yang mengerikan yang kita lihat setiap jam di media, sehingga kita menjadi tidak peka terhadap penderitaan orang lain. Kita terus menikmati makan malam kita sambil menyaksikan kelaparan dan pembunuhan beramai-ramai yang kejam di Gaza di televisyen.

Masyarakat dunia menyaksikan sementara kerajaan setiap negara memejamkan mata dari kekejaman dan pembunuhan yang dilakukan oleh Israel dan penaja utama mereka – Amerika Syarikat.

Apabila kem pemusnahan konsentrasi Nazi dan bilik gas beracun untuk orang Yahudi ditemui semasa Perang Dunia Kedua, dunia berkata – “ini tidak akan dibiarkan berlaku lagi”.

Apabila pengeboman pembunuhan beramai ramai dan pembersihan etnik yang kejam di Bosnia oleh orang Serbia berlaku di tengah-tengah Eropah yang kaya bertamadun, dunia sekali lagi berkata “ini tidak akan dibiarkan berlaku lagi”. Ia hanya berhenti selepas beberapa bulan pengeboman intensif dan pembunuhan yang mengerikan ribuan orang Islam.

Dunia kini sekali lagi membenarkan pembunuhan yang kejam dan jahat berlaku di depan mata CNN, BBC, dan Al Jazeera di tengah-tengah negara-negara Arab yang kaya minyak, tempat di mana peradaban tamadun yang kaya telah berabad-abad wujud.

Seperti di Bosnia di mana pembersihan etnik orang Muslim dibiarkan berlanjutan selama berbulan-bulan, pengeboman terhadap penduduk Gaza yang tidak berdaya dan penafian air, makanan, dan bantuan perubatan dibiarkan tanpa bantahan dari negara kuasa besar sementara kapal perang AS dan Britain hanya memerhati pembantaian di pantai Gaza.

Amerika Syarikat terus berkata “ini bukan masa yang sesuai untuk gencatan senjata” dan terus menggunakan hak veto untuk menghentikan peperangan. Tepat dengan kata-katanya, Amerika Syarikat memberikan Israel “sokongan penuh tanpa syarat”, dengan itu memberikan lesen besar terbuka kepada Israel untuk terus membunuh kanak-kanak, wanita, dan orang tua dengan bebas menggunakan pesawat, roket, dan bom buatan AS.

Hospital, masjid, bangunan UN, sekolah, dan rumah-rumah peribadi semuanya menjadi sasaran. Tiada yang tertinggal, namun dunia dan PBB hanya menyaksikannya tanpa daya sementara Israel dan Amerika Syarikat dengan sekutu-sekutu barat lainnya terus membekalkan bom dan apa-apa yang diperlukan Israel untuk meneruskan pembunuhan.

Saorang pegawai kanan PBB , Craig Mokhiber, telah meletakkan jawatan semalam kerana kekejaman Israel dan keingkaran berkali-kali Israel mematuhi resolusi PBB.

Adakah dunia menunggu Israel mencapai quota sasaran KPI pembunuhan penduduk awam sebelum bertindak dengan bermakna dan tegas?

Dunia pasti mempunyai darah anak-anak, wanita, dan orang tua di tangan mereka kerana membenarkan jenayah yang sama dilakukan ke atas orang Yahudi semasa Perang Dunia Kedua dilakukan pula kepada orang Palestin.

Auschwitz adalah kem pemusnahan konsentrasi terbuka yang besar pada masa lampau. Gaza adalah kem pemusnahan terbuka terbesar di dunia bagi 2.3 juta orang Palestin yang terus dikurung.

Tahanan Yahudi dalam kem pemusnahan Nazi ketika Perang Dunia Kedua dimana pembunuhan melalui racun gas dilakukan.

Orang Palestin juga dikenakan dan dibunuh oleh gas beracun daripada bom belerang fosforus putih yang jatuh ke Gaza.

Orang Yahudi dalam kem pemusnahan Nazi tidak diberikan makanan, air, dan bekalan perubatan yang Israel sekarang juga menafikannya yang sama kepada lebih dari 2 juta orang Palestin.

Kekejaman Israel adalah lebih teruk dengan membenarkan lebih banyak bayi dan kanak-kanak mati kerana kira-kira 40 peratus penduduk Gaza adalah kanak-kanak.

Kebanyakan agama boleh menerima konsep balas dendam mata ganti mata, tetapi pembunuhan balas dendam Israel yang sangat tidak seimbang selama bertahun-tahun terus menggoncangkan dunia.

Tiada negara lain di dunia yang menentang dan mengabaikan berbilang-bilang resolusi PBB seperti Israel.

Tiada negara lain yang melaksanakan dasar apartheid lama yang dibenci dunia dan semua agama seperti Israel sedang lakukan.

Seluruh dunia mempunyai tangan bersubahat yang bergelumang basah dengan darah Palestin dari Gaza. Soalan sebenarnya ialah berapa banyak lagi darah yang mencukupi bagi Israel sebelum dunia bersedia mengatakan cukup sudah?

Israel adalah sebuah negara yang telah menjadi raksasa yang tidak terkawal yang dicipta oleh dunia.

Daripada menjadi negara rakyat Yahudi yang pernah ditindas, Israel kini telah menjadi penindas terbesar rakyat Palestin yang tidak berdaya yang dihalau keluar dari tanah air Palestin mereka di Gaza dan mereka yang kekal di penjara terbuka terbesar di dunia pula sambil dibom dan mati kelaparan.

Dan dunia tidak membantu.

Pada tahun-tahun akan datang dunia sekali lagi akan mengungkap kata kata kosong- “tidak lagi peristiwa sebegitu di benarkan berlaku.”

Tetapi realiti hakikat yang pahit sebenar ialah sejarah terus berulang dan kita belajar sangat sedikit daripada masa lalu kecuali mengakui negara kaya dan berkuasa sentiasa akan menginjak-injak dan melenyapkan orang miskin dan yang tidak berdaya seperti mereka di Gaza dan Palestin.

Tiada ulasan: