"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Muslim Amerika beri amaran pada Joe Biden, tiada gencatan di Gaza, tiada undi

Reuters

WASHINGTON: Beberapa kumpulan Muslim dan Arab Amerika mengancam menyekat derma dan undi terhadap pemilihan semula Presiden Joe Biden 2024 melainkan beliau mengambil langkah segera melakukan gencatan senjata di Gaza.

Majlis Demokrasi Muslim Kebangsaan, yang merangkumi pemimpin parti Demokratik dari “negeri panas” yang boleh menentukan keputusan pilihan raya seperti Michigan, Ohio, dan Pennsylvania, mendesak Biden menggunakan pengaruhnya dengan Israel merangka gencatan senjata pada 5 petang, Selasa.

Dalam surat terbuka bertajuk “2023 Ceasefire Ultimatum,” pemimpin Muslim berikrar menggerakkan “Muslim, Arab, dan sekutu pengundi” untuk “menyekat sokongan, atau undi kepada mana-mana calon menyokong serangan Israel terhadap rakyat Palestin.”

“Sokongan pentadbiran anda yang tidak berbelah bahagi, meliputi dana dan persenjataan memainkan peranan signifikan dalam mengekalkan keganasan yang menyebabkan korban awam dan menghakis kepercayaan pengundi yang sebelum ini meletakkan keyakinan kepada anda,” tulis majlis itu.

Emgage, kumpulan sivil Amerika Muslim, mendapati hampir 1.1 juta pengundi Muslim pada pilihan raya 2020. Tinjauan Associated Press mendapati 64% Muslim mengundi Biden, calon Demokrat, dan 35% memilih seterunya dari Republikan, Donald Trump.

Institut Amerika Arab menganggarkan 3.7 juta rakyat Amerika “berakar usul” dari negara Arab; tinjauan pihaknya pada Selasa mendapati sokongan kepada Biden dan Demokrat menurun dengan signifikan daripada kumpulan itu.

Pengarah Eksekutif Majlis Perhubungan Amerika-Islamik (CAIR), Jaylani Hussein di Minnesota, berkata beliau tidak punya pilihan untuk tidak mengundi Biden pada 2024, melainkan beliau berusaha menamatkan pertempuran. Beliau berkata demikian atas kapasiti peribadi dan bukan bagi pihak CAIR, yang dilarang berkempen politik.

Kumpulan pro-Palestin tempatan merancang mengadakan protes di Minneapolis pada Rabu, ketika lawatan Biden ke Minnesota.

Masyarakat Arab dan Muslim Amerika menyuarakan kekecewaan susulan tindakan Biden tidak mengutuk serangan Israel ke atas Semenanjung Gaza, selepas serangan pada 7 Okt oleh pejuang Hamas, yang membunuh 1,400 selain 240 diambil sebagai tebusan.

Biden berkata, Israel berhak mempertahankan rakyatnya, namun perlu melindungi rakyat Palestin tidak berdosa di Gaza yang menjadi mangsa konflik antara Israel dan Hamas.

Pihak berkuasa kesihatan Gaza berkata, seramai 8,525, termasuk 3,542 kanak-kanak terbunuh dalam serangan Israel sejak 7 Okt. Pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkata lebih 1.4 juta daripada 2.3 juta populasi awam Gaza hilang tempat tinggal.

Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu, pada Isnin berkata, dia tidak bersetuju terhadap apa jua gencatan senjata ke atas serangan di Gaza. Jurucakap Keselamatan Kebangsaan Amerika Syarikat John Kirby berkata, “Hamas satu-satunya akan mendapat manfaat ketika ini.”

Representatif Rashida Tlaib, berketurunan Palestin Amerika dari Michigan, pada Isnin mengeluarkan video berdurasi 90 saat dalam platform X, mengecam sokongan Biden yang digambarkannya “kempen genosid Israel di Palestin,” sambil menyatakan “Jangan bergantung pada undi kami 2024.”

Biden menang 16 undi Kolej Elektoral dengan 2.8 mata peratusan pada 2020.

Tiada ulasan: