HarapanDaily.com
Selepas lebih 20 hari tentera rejim Zionis mengganas di Gaza, Benjamin Netanyahu terus angkuh untuk meneruskan perang.
Katanya, negara haram itu tidak akan sama sekali melakukan gencatan senjata dalam usaha mencapai keamanan pada perang dengan Hamas yang telah mengorbankan lebih 8,000 rakyat Palestin majoritinya wanita dan kanak-kanak.
Dia malah mengaitkan tindakan sama dilakukan Amerika Syarikat (AS) semasa Jepun menyerang Pearl Harbour pada 1941 dan susulan serangan ke atas menara berkembar World Trade Centre (WTC) pada 11 September 2001.
“Saya ingin jelaskan pendirian Israel mengenai gencatan senjata.
“Seperti mana AS yang tidak setuju dengan gencatan senjata selepas Pearl Harbour dibom atau selepas serangan pengganas pada 11 September (2001), Israel tidak akan setuju dengan menghentikan peperangan dengan Hamas selepas serangan ngeri pada 7 Oktober lalu,” tegas Netanyahu semalam.
Setakat ini, lebih 8,005 rakyat Palestin syahid akibat serangan tanpa henti daripada tentera rejim Zionis.
Pembunuhan beramai-ramai oleh penjenayah perang Israel juga mengakibatkan 116 anggota perubatan, 18 petugas pasukan penyelamat dan kru pertahanan awam, selain 35 wartawan turut terbunuh.
Dalam Sidang Khas Tergempar ke-10 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) pada 27 Oktober lalu, 120 negara termasuk Malaysia mengundi menyokong gencatan senjata segera di Genting Gaza.
Terus lantang dalam sidang medianya semalam, Netanyahu menegaskan bahawa desakan terhadap Israel supaya melakukan gencatan senjata bermaksud “menyerah pada Hamas, menyerah pada pengganas, menyerah pada kebiadapan” dan akan memastikan semua itu tidak akan berlaku.
Pemimpin veteran Zionis berusia 74 tahun itu malah memetik petikan kitab Bible yang menyebut terdapat ruang masa untuk keamanan: “Kini masanya untuk berperang.”
Dalam masa sama, dia mengulangi pendirian bahawa matlamat utamanya ialah menyingkirkan pejuang Hamas apabila ditanya media, apakah dia mempertimbangkan untuk meletak jawatan.
“Kami (Israel) akan singkirkan mereka (Hamas) ke dalam tong sampah sejarah. Itu matlamat saya. Itu tanggungjawab saya,” katanya.
Susulan itu, Hamas dalam reaksinya berkata, operasi Israel di utara Gaza gagal serta membayangkan situasi kemanusiaan di wilayah bergolak itu seperti satu ‘malapetaka.’
Keangkuhan Zionis untuk mematuhi undang-undang perang terbukti apabila 47 masjid dan tiga gereja rosak manakala 203 sekolah dan 80 bangunan kerajaan Gaza turut musnah dibedil tentera Israel.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan