"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sebab kematian pelajar, pemandu lori didakwa pandu melulu

Bernama
Norazwan Ismail didakwa di Mahkamah Majistret Batu Pahat atas tuduhan memandu melulu hingga menyebabkan kematian penunggang motosikal Shahrunizam Mohd Shamsul pada Rabu lalu. (Gambar Bernama)
BATU PAHAT: Seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas pertuduhan memandu dengan melulu sehingga menyebabkan kematian seorang pelajar tingkatan lima, Rabu lalu.

Norazwan Ismail, 33, didakwa melakukan perbuatan itu di Kilometer 13.5 Jalan Kluang-Batu Pahat di sini pada 7.04 pagi, 25 Okt lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun dan denda hingga RM50,000 serta lesen memandu digantung, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Farah Wahidah Mohd Sharip mencadangkan mahkamah mengenakan jaminan RM15,000 kepada tertuduh dengan syarat tambahan selain digantung lesen mengikut Seksyen 41(5) APJ.

Peguam S Thamarah yang mewakili tertuduh merayu jaminan direndahkan kerana Norazwan perlu menanggung dua isteri dan dua anak serta ibu bapa yang uzur selain memohon lesen tidak digantung memandangkan memandu lori adalah punca rezeki utama anak guamnya.

Majistret Nurasidah A Rahman kemudian membenarkan Norazwan diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali sehingga kes selesai dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Mahkamah turut menetapkan 30 Nov depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Dalam kejadian pada 26 Okt lepas, Shahrunizam Mohd Shamsul, 17, dalam perjalanan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Gading di sini, maut dan motosikal ditunggangnya terbakar apabila melanggar bahagian tangki minyak sebuah lori yang membuat pusingan U.

Video mengenai kejadian itu yang berdurasi 30 saat turut tular di media sosial.

Tiada ulasan: