"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Warga Indonesia berenang ke Singapura dari Malaysia guna beg sampah dipenjara, disebat

Bharianonline

SINGAPURA: Lelaki warga Indonesia yang dihantar pulang dan dilarang memasuki Singapura atas kesalahan imigresen sekali lagi kembali ke Singapura secara haram, kali ini berenang dari Malaysia dengan beg sampah sebagai alat pengapungan.

Mahkamah semalam menjatuhi hukuman penjara 15 bulan dan tujuh sebatan terhadap Muhammad Izal, 34, yang memasuki Singapura tanpa dikesan dan tinggal secara haram selama kira-kira 10 bulan sehingga 23 Oktober lalu.

Dia mengaku bersalah atas satu pertuduhan masing-masing memasuki Singapura tanpa pas yang sah dan memasuki Singapura tanpa kebenaran apabila dihantar pulang dari Singapura pada Mei 2022.

Memetik laporan CNA, berdasarkan dokumen mahkamah, Izal pernah didakwa di Singapura sebanyak empat kali atas kesalahan imigresen.

Dia kali terakhir didakwa pada Ogos 2021 kerana memasuki Singapura tanpa pas yang sah dan pulang secara haram ke Singapura selepas dia dikeluarkan dari negara itu.

Dia disabitkan kesalahan pada September 2021 dan dijatuhi hukuman penjara setahun dan enam sebatan.

Apabila dibebaskan dari penjara pada April 2022, Izal dirujuk kepada Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) untuk penghantaran pulang.

Sebelum Izal dihantar pulang pada 28 Mei 2022, dia diberi notis bertulis memaklumkan bahawa dia dilarang memasuki Singapura berkuat kuasa dari tarikh pengusirannya.

Notis itu menyatakan bahawa dia dikehendaki mendapatkan kebenaran bertulis terlebih dahulu daripada Pengawal Imigresen untuk memasuki atau menetap di Singapura pada masa hadapan.

Dia juga dimaklumkan jika gagal berbuat demikian akan mengakibatkan pendakwaan dan hukuman penjara satu hingga tiga tahun jika sabit kesalahan.

Izal mengakui notis itu, meletakkan cap ibu jarinya di atasnya, dan dihantar pulang ke Indonesia pada 28 Mei 2022.

Selepas tinggal di negara asalnya hampir tujuh bulan, Izal memutuskan untuk pulang ke Singapura secara haram untuk mendapatkan pekerjaan.

Dia menaiki feri dari Batam, Indonesia ke Stulang Laut di Johor Bahru, Malaysia.

Dia menghabiskan dua malam di sana sebelum menuju ke pantai dan berenang ke Pulau Ubin Singapura.

Dia menggunakan beg sampah hitam sebagai alat pengapungan seperti dinyatakan dalam dokumen mahkamah.

Selepas sampai ke Pulau Ubin, Izal berehat setengah jam sebelum berenang menuju ke Pantai Changi.

Dia memasuki Singapura tanpa dikesan dan tinggal secara haram di Singapura selama kira-kira 10 bulan sehingga 23 Oktober tahun ini.

Dia ditahan oleh pegawai ICA di Woodlands Road apabila gagal mengemukakan sebarang bukti menunjukkan dia tinggal secara sah di Singapura.

Dia dirujuk ke cawangan penyiasatan ICA dan cap jarinya dikesan kepada seseorang yang mempunyai "rekod buruk" di bawah nama Muhammad Izal.

Dalam rayuannya, dia menyatakan kekesalan dan memberitahu mahkamah bahawa dia mempunyai anak dan ibu bapa yang sakit. - AGENSI

Tiada ulasan: