"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

'Serigala merah' gugat spesis sungai, nelayan boleh hilang punca rezeki

Rosman Shamsudin
bhnews@bh.com.my
Mohd Nizam Sidek (kanan) dan abangnya, Mohd Azuan (kiri) bersama ikan baung ekor merah yang ditangkap di Sungai Bernam bersempadanan negeri Perak dan Selangor. ini- Foto NSTP

Mohd Nizam Sidek (kanan) dan abangnya, Mohd Azuan (kiri) bersama ikan baung ekor merah yang ditangkap di Sungai Bernam bersempadanan negeri Perak dan Selangor. ini- Foto NSTP
SLIM RIVER: Ikan baung ekor merah atau digelar 'serigala merah' (Hemibagrus wyckioides) dalam kalangan nelayan sungai yang dikategorikan ikan invasif banyak menghuni di Sungai Bernam bersempadan Perak dan Selangor.

Setiap hari, nelayan menangkap banyak ikan spesis itu yang bersaiz besar hingga mencecah 10 kilogram seekor.

Nelayan berkata berpuluh-puluh ekor ikan berkenaan yang bersaiz besar berjaya ditangkap menggunakan tajur yang dipasang di tebing sungai terbabit.

Nelayan, Mohd Nizam Sidek, 39, berkata dia mulai menangkap ikan terbabit selepas rakan lain memaklumkan sungai itu kini mempunyai banyak ikan spesies berkenaan sejak tahun lalu.

Katanya, dia terkejut kerana dalam masa lima hari dengan berumpankan ikan kelilalu dia berjaya menangkap lebih 12 ekor baung ekor merah yang berat lebih 10 kilogram (kg) seekor di sungai berkenaan.

"Oleh kerana saiz ikan terlalu besar dan berat menyebabkan ia kini dijual RM10 sekilogram kepada peraih dan restoran berdekatan .

"Orang ramai tidak berminat beli kerana saiznya terlalu besar dan kadangkala saya sedekahkan sahaja kepada penduduk.

"Nelayan dan penduduk setempat menggelar ikan terbabit 'serigala merah' mungkin disebabkan ekornya berwarna merah di samping sifatnya agak ganas ketika memakan mangsa," katanya.

Dia yang juga nelayan sepenuh masa sejak 20 tahun yang lalu berkata, dia bersama nelayan lain sering bekerjasama menangkap seberapa banyak ikan terbabit di sungai berkenaan.

Katanya lagi, walaupun ikan itu mampu memberi sumber pendapatan dalam jangka masa panjang ia boleh mengancam spesies ikan lain dan udang galah kerana sifatnya terkenal sebagai haiwan pemangsa.

"Sebagai nelayan darat sepenuh masa dan hanya mengharapkan hasil pendapatan daripada menjual ikan memang saya bimbang akan kewujudan spesies itu," katanya.

Mohd Nizam berkata mereka juga hairan kerana sebelum ini spesis itu tidak ada di sungai berkenaan dan jarang ditangkap nelayan.

Katanya, jika usaha mengawal tidak dilakukan, nelayan khuatir spesis ikan sungai lain akan pupus kerana menjadi mangsa baung ekor merah yang sekali gus akan menjejaskan punca rezeki nelayan di situ.

Abangnya, Mohd Azwan, 42, berkata dia pernah menangkap lima ekor ikan itu yang beratnya lebih 100kg dengan menggunakan tajur di sungai berkenaan.

Katanya, ikan terlalu besar dan agak asing dalam kalangan penduduk menyebabkan ia sukar dijual kepada orang ramai.

"Peraih ikan yang membeli itu pun memotong ikan itu terlebih dulu sebelum menjual kepada orang ramai.

BH hari ini mendedahkan beberapa sungai utama negara ini, terutama di Pahang, Selangor dan Perak kini dikesan menjadi habitat ikan pemangsa (invasif) hingga mula mengancam populasi ikan tempatan yang selama ini mendiami saliran itu, berikutan keupayaannya membiak dan membesar dengan cepat.

Ikan invasif atau spesies asing ini asalnya dibawa masuk bagi tujuan hobi atau dibela dalam akuarium, namun kemudian dilepaskan pihak tidak bertanggungjawab ke sistem saliran tempatan apabila tidak lagi mampu mengendalikannya.

Tiada ulasan: