"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tular dakwaan pilih bulu, pengurusan Menara Petronas mohon maaf

Malaysiakini

Pengurusan Menara Berkembar Petronas memohon maaf susulan dakwaan seorang lelaki diberi layanan tidak adil oleh kakitangannya ketika mengunjungi bangunan ikonik tersebut pada Jumaat lalu.

Ini selepas lelaki itu mendakwa kakitangan menara berkembar berkenaan memberi layanan istimewa dan mendahulukan satu pasangan 'mat salih' untuk menaiki Skybridge KLCC, meskipun dia telah mendapat slot dan menunggu lebih awal.

Dalam satu kenyataan, pengurusan operasi lawatan Petronas berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian itu.

"Pihak pengurusan operasi lawatan Menara Berkembar Petronas ingin memohon maaf di atas insiden yang telah berlaku.

"Kami memandang berat perkara ini dan sedang menjalankan siasatan dengan kadar segera. Kami akan memastikan hal ini tidak berulang lagi. Segala kesulitan amat kami kesali," menurut kenyataan tersebut.

Terdahulu, tular hantaran Facebook seorang lelaki yang mendakwa amalan pilih bulu oleh kakitangan menara tersebut.

Shamsuddin Nawawi dalam hantarannya berkata dia beratur pada pukul 11.30 pagi dan dapat membeli tiket untuk slot pukul 4.00 petang bagi menaiki menara tersebut.

Kemudian katanya, dia datang semula pada jam 2 petang dan menunggu di ruang menunggu sehingga jam 3.45 petang untuk beratur bagi mengimbas tiket.

"Lebih kurang pukul 3.00 petang datanglah pegawai Melayu yang pakai tie warna Petronas itu ke kerusi bulat sebelah bertanya kepada couple Mat Salih tiket naik pukul berapa.

“Mat Salih itu jawab pukul 4.15 petang. Pegawai itu kenyit mata dan (bagi) signal suruh couple mat salih itu ke depan supaya boleh naik awal.

"Mulalah tertanya-tanya apa hal pula mat salih boleh naik dulu. Saya ini yang dah tunggu lebih awal tidak pula dilayan begitu,” ujarnya.

Apabila ditanya, Shamsuddin berkata pegawai berkenaan memberi jawapan mereka mempunyai kuasa untuk mendahulukan sesiapa yang difikirkan perlu.

"Wah...mat salih tu baru sampai, badan segar bugar bertatoo, pasangan perempuannya pun tak nampak cacat pun. Saya ini dengan rakyat yang pegang MyKid tak pula dilayan begitu,” katanya.

"Bila hati sudah panas, suara pun tinggi sikit, pegawai pakai tie Petronas itu cuba bagi alasan. Give me a minute to explain...give me a minute to explain. Saya akan panggil encik juga lepas ini.

"Lepas ini? Lepas mat salih dah dilayan penuh keistimewaan?

"Encik, saya bukan racist katanya. You admit you are racist! Kalau saya nampak mat salih itu naik dulu dari saya, you will see my posting in Facebook! Itu amaran saya," kata Shamsuddin.

Menurutnya, seorang lagi kakitangan ketika dia mengadukan perkara tersebut berkata "Up to youlah Encik. Reportlah kepada management janganlah masuk Facebook. Profesionallah sikit".

Susulan cabaran itu Shamsuddin berkata dia menulis kejadian tersebut di Facebook untuk dibaca oleh semua orang.

"Kalau management #Petronas Twin Tower nampak, nak komen boleh, nak berhujah pun boleh. Nak bukti, boleh tengok CCTV," katanya mendakwa satu pasangan dari Sarawak juga menyaksikan kejadian berkenaan.

Tiada ulasan: