"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lelaki Pakistan tunjuk samseng selepas pekerja ditahan

MUHAMMAD AFHAM RAMLI
Dua lelaki warga Pakistan dikesan mengambil barangan yang didiskaunkan khusus untuk warga tempatan pada program Jualan di sebuah pasar raya di Kuala Lumpur, pada Ahad, sebelum ditahan KPDN.
Dua lelaki warga Pakistan dikesan mengambil barangan yang didiskaunkan khusus untuk warga tempatan pada program Jualan di sebuah pasar raya di Kuala Lumpur, pada Ahad, sebelum ditahan KPDN.
KUALA LUMPUR - Seorang lelaki dipercayai warga Pakistan bertindak kurang ajar selain mempertikai tindakan penahanan dua pekerjanya yang dibuat pihak berkuasa di sebuah pasar raya, di sini pada Ahad.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, dua lelaki terbabit telah dihalang oleh pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur selepas berdegil mahu mengambil barangan yang didiskaunkan khusus untuk warga tempatan pada program Jualan Rahmah.

Tindakan dua warga Pakistan itu jelas tidak mematuhi tanda larangan yang menyatakan pembelian hanya untuk warga tempatan.

Difahamkan, salah seorang daripada lelaki itu kemudian menghubungi majikannya yang juga merupakan warga Pakistan.

Selepas tiba, majikan terbabit yang tidak berpuas hati telah membuat provokasi dengan menolak salah seorang pegawai pengurusan pasar raya terbabit selain mengajaknya untuk bergaduh.

Pengarah KPDN Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin berkata, beliau dan pegawainya yang sedang membuat tinjauan ke atas pasar raya tersebut bertindak meleraikan keadaan.

"Susulan itu, satu laporan polis telah dibuat KPDN di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi terhadap ketiga-tiga lelaki terbabit," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Katanya, KPDN Kuala Lumpur memberi amaran keras bahawa tidak akan berkompromi dengan sebarang kes terutama berkaitan diskaun yang dikhususkan untuk warganegara Malaysia.

Ujarnya, KPDN Kuala Lumpur pada setiap bulan telah melaksanakan 22 kali Jualan Rahmah secara tetap di premis dan 22 lokasi secara bergerak.

"Usaha ini diharap dapat meringankan beban kos sara hidup warga kota lebih lebih lagi dalam membuat persediaan musim perayaan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan penahanan terbabit.

"Kesemua telah direman dan kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Tiada ulasan: