"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pamer nombor plat palsu, remaja dihukum penjara, denda RM10,000

Malinda Abdul Malik
4aae5345-e21d-43fe-bc39-21f6639bc0a2
Muhammad Nur Alif mengaku bersalah atas dua pertuduhan termasuk pamer nombor plat palsu di Mahkamah Majistret Butterworth hari ini.
BUTTERWORTH – Seorang pembantu kedai dijatuhi hukuman penjara tiga hari dan didenda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah memandu secara melulu dan mempamerkan nombor pendaftaran palsu pada motosikal bukan miliknya pada 30 Mac lalu.

Majistret Siti Zulaikha Nordin @ Ghani menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Muhammad Nur Alif Norrizan, 19, sejurus dia mengaku salah terhadap kedua-dua pertuduhan yang dibacakan ke atasnya.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang berasal dari Sungai Petani, Kedah itu didakwa menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR di jalan awam secara melulu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di lampu isyarat Jalan Kampung Telok Sungai Dua menghala Lingkaran Luar Butterworth (BORR) di Bagan Ajam pukul 4.40 pagi pada 30 Mac lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda hingga RM15,000 jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, dia didapati memaperkan nombor pendaftaran KFN 9791 yang bukan kepunyaan motosikal tersebut.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di lokasi dan masa yang sama dengan pertuduhan pertama.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1986 yang memperuntukkan denda tidak lebih RM20,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurameera Shahrul Azrin kemudian memohon tertuduh dijatuhi hukuman setimpal serta berbentuk pengajaran.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara tiga hari bermula tarikh tangkap iaitu 30 Mac dan denda RM5,000 bagi pertuduhan pertama manakala denda RM5,000 bagi pertuduhan kedua.

Tertuduh membayar denda tersebut. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: