"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mudahnya senjata diseludup dari Thailand?: Lelaki warga Israel bayar RM10,000 sepucuk pistol

Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Sepucuk pistol bernilai lebih RM10,000. Itu harga dibayar oleh lelaki warga Israel, Shalom Avitan bagi mendapatkan enam pistol dan 200 peluru daripada pasangan suami isteri yang disyaki diseludup masuk dari Thailand.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, soal siasat mendapati senjata terbabit diseludup masuk melalui sempadan sebelum diserahkan kepada suspek.

Namun, beliau enggan mendedahkan bagaimana ketiga-tiga mereka berkomunikasi dan berurusan bagi pembelian itu.

Beliau mengakui terdapat kelemahan dan kelompongan dalam kawalan keselamatan di sempadan Malaysia-Thailand yang menyebabkan berlaku pelbagai isu penyeludupan termasuk senjata api.

"Hasil siasatan, kami mendapati senjata api memang diambil dari Thailand dan saya perlu mengakui terdapat kawalan keselamatan lemah di sana yang boleh membenarkan senjata api dibawa masuk ke Malaysia.

"Bagaimanapun pada masa sama, kita masih menguatkuasakan undang-undang terutama dalam menjaga sempadan dengan baik," katanya dalam sidang media di Bukit Aman di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, menahan suami isteri tempatan yang disyaki membekalkan senjata api kepada lelaki warga Israel.

Pasangan berusia 42 dan 40 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, di sebuah bazar Ramadan di Kuala Selangor.

Mengulas lanjut, Razarudin berkata, polis khususnya di sempadan akan memperkukuhkan keselamatan bagi mengekang berlaku penyeludupan.

"Namun, kita tahu di sebelah Kelantan tidak ada pagar, hanya sungai sebagai sempadan. Pada musim kemarau boleh menyeberang dengan mudah, tidak perlu bot.

"Kami masih menguatkuasakan undang-undang untuk memastikan penyeludupan tidak berlaku, sama ada penyeludupan dari Thailand ke Malaysia atau dari Malaysia ke Thailand," katanya.

Harian Metro terdahulu melaporkan, seorang lelaki warga Israel ditahan bersama enam pistol serta 200 butir peluru di sebuah hotel di Jalan Ampang di sini, pada 27 Mac lalu.

Suspek dikesan masuk ke negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12 Mac lalu dengan menggunakan pasport Perancis.

Enam senjata api yang ditemui dalam bilik hotel suspek adalah jenis Glock 19 Marine, Glock 17 Gen 4, Smith and Wesson, Sig Sauer dan Stoeger serta 200 butir peluru yang diletakkan dalam beg miliknya.

Tiada ulasan: