"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ahli Republikan AS syor guna bom atom selesai perang di Gaza dikecam

BHarianonline 
Ahli Dewan Perwakilan mewakili Parti Republikan, Tim Walberg. - Foto AGENSI
Ahli Dewan Perwakilan mewakili Parti Republikan, Tim Walberg. - Foto AGENSI
MICHIGAN: Ahli Dewan Perwakilan, Tim Walberg, dikecam kerana menentang agihan bantuan kemanusiaan Amerika Syarikat (AS) ke Gaza selain mengesyorkan penggunaan bom atom bagi tamatkan perang, seperti di Nagasaki dan Hiroshima, Jepun.

Wakil dari Parti Republikan berusia 72 tahun itu turut digesa melepaskan jawatan kerana membangkitkan isu itu ketika perbincangan bersama pengundinya berhubung kemusnahan Semenanjung Gaza, pada sesi dialog awam minggu lalu.

Dalam rakaman video ucapan Walberg yang disiar secara dalam talian di Dundee, Michigan pada 25 Mac lalu, beliau berkata: "Ia seperti Hiroshima dan Nagasaki. Selesaikan segera".

Berdasarkan video disiar secara dalam talian itu, ucapan beliau jelas merujuk kepada pengguguran bom atom dilakukan Amerika Syarikat (AS) ke atas Jepun semasa Perang Dunia II .

Walberg, ketika mengulas perkara itu bagaimanapun menegaskan ia disalahertikan berikutan klip video itu hanya memaparkan sebahagian daripada ucapannya.

Ia mendapat reaksi warga AS-Palestin merangkap bekas rakan Kongres di Michigan, Justin Amash, yang mengecam beliau di aplikasi X kelmarin, sambil menegaskan ia 'memperlihatkan sikap sangat tidak mempedulikan penderitaan manusia'.

"Rakyat Gaza juga manusia, ramai antara mereka adalah kanak-kanak yang terperangkap dalam keadaan mengerikan dan di luar kawalan.

"Justeru, kenyataan beliau mencadangkan ratusan ribu penduduk Palestin yang tidak bersalah perlu dimusnahkan, termasuk saudara saya yang berlindung di gereja Ortodoks Kristian, perlu dicela dan tidak boleh dipertahankan," katanya.

Walberg, yang juga bekas paderi dan anggota Dewan Perwakilan yang sudah lama mewakili selatan Michigan, menerusi ciapan di aplikasi X semalam cuba memperbetulkan kenyataan itu dan mendakwa ia diputarbelitkan.

"Sebagai kanak-kanak yang dibesarkan dalam era Perang Dingin, perkara terakhir yang saya akan galakkan ialah penggunaan senjata nuklear.

"Saya, menerusi klip yang disunting itu, hanya menggunakan metafora bagi menegaskan keperluan Israel dan Ukraine untuk segera menang dalam peperangan, tanpa membahayakan tentera AS," katanya.

Pejabat Walberg juga menyediakan rakaman audio dan sari kata bagi kenyataannya mengenai pertanyaan mengapa AS menghabiskan wang membina jeti bagi menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza.

"Kita tidak perlu membelanjakan wang bagi bantuan kemanusiaan. Ia sepatutnya seperti Nagasaki dan Hiroshima. Segera selesaikan. Begitu juga dengan Ukraine. Kalahkan Putin dengan cepat.

"Sepatutnya, 100 peratus pembiayaan kepada Ukraine digunakan bagi tujuan memusnahkan pasukan Russia, jika itulah yang mahu dilaksanakan, berbanding 80 peratus daripadanya digunakan untuk kemanusiaan," katanya, yang dipetik menerusi rakaman itu. - AGENSI

Tiada ulasan: