"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bekas wakil rakyat antara warga Indonesia diselamatkan di Myanmar

Malaysiakini 

Seorang bekas wakil rakyat peringkat daerah (Dewan Perwakilan Rakyat Daerah atau DPRD) di Indramayu, Jawa Barat adalah antara 46 mangsa pemerdagangan manusia yang dibawa pulang ke Indonesia dari Myawaddy, Myanmar pada petang semalam.

Pengarah Perlindungan Warganegara Indonesia di Kementerian Luar, Judha Nugraha, pada Jumaat berkata semua mangsa pemerdagangan manusia yang diselamatkan itu datang dari sembilan wilayah dengan majoriti berasal dari Sumatera Utara dan Jawa Barat.

"Kami juga mengesahkan yang salah seorang daripada 46 pekerja migran yang diselamatkan adalah bekas ahli DPRD Daerah Indramayu dengan namanya bermula dari huruf R ," katanya seperti dilaporkan agensi berita Antara.

Pegawai terbabit berkata, rakyat Indonesia terbabit diseksa ketika ditahan di Myanmar sebelum diselamatkan dan dihantar pulang melalui satu daripada dua penerbangan yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta pada lewat semalam dan awal hari ini.

Sambil memuji sumbangan positif Kedutaan Besar Indonesia di Myanmar, Judha berkata, proses membawa pulng pekerja migran Indonesia dari Myawaddy adalah “proses yang panjang."

Dia turut mengesahkan masih ada 270 rakyat Indonesia di Myawaddy dan Kementerian Luar akan terus berusaha untuk membawa mereka pulang ke tanah air.

"Kami akan memulakan siasatan terperinci untuk mengenal pasti pihak yang membantu mereka ke luar negara sejak awal dan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka," katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Perlindungan di Kementerian Perlindungan Pekerja Migran Indonesia, Rinardi, berkata 46 rakyat Indonesia yang diselamatkan itu akan menjalani proses penilaian di kemudahan Kementerian Hal Ehwal Sosial.

"Selepas semuanya selesai, kami akan membantu menghantar mereka pulang ke kampung halaman di bawah pemantauan Kementerian Hal Ehwal Sosial," katanya.

- Bernama/Antara

Tiada ulasan: