"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Syria: Legenda 'lelaki si leher panjang'

Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my
Kisah legenda rakyat Syria berkaitan 'lelaki si leher panjang' cukup menggerunkan. Majoriti rakyat negara itu tidak berani mengangkat kepala apatah lagi menyebut namanya sebelum ini.
Hikayat ini bukan cerita dongeng malah ia dikatakan benar-benar terjadi di bumi Syam. Lelaki ini dikatakan pemakan daging manusia dan amat hauskan darah rakyatnya.

Berdasarkan kisah dikongsi dari mulut ke mulut, 'raksasa' yang menghuni istana di puncak bukit Mezzeh, Damsyik ini pernah membunuh jutaan rakyat Syria antara tahun 2011 hingga November 2024.

Sepanjang pemerintahannya, 'lelaki si leher panjang' atau dikenali dengan nama Presiden Bashar al-Assad melakukan pelbagai bentuk kekejaman dan pembunuhan besar-besaran hingga meninggalkan kesan mendalam terhadap rakyat dan sejarah negara itu.

Rejim diktator Bashar Al-Assad bertanggungjawab dalam beribu siri kekejaman gila terhadap rakyatnya. Ini termasuklah penyeksaan, pembunuhan skala besar dan 'kehilangan' tanpa jejak ratusan ribu rakyatnya.

Sejurus rejim Bashar ini digulingkan pada 8 Disember 2024, satu persatu dosa sabu'iyyah dilakukannya dibongkar.

Antara paling mengejutkan adalah penemuan 12 kubur besar di Daraa, Syria, menghimpunkan ratusan ribu rangka manusia dipercayai mangsa pembunuhan besar-besaran oleh rejim Bashar.

Dua kubur besar turut ditemui di bandar Qutayfah dan Najha di Damsyik, berisi lebih 100,000 mayat mangsa yang hilang dan diseksa hingga mati.

Sebahagian besar mangsa ini adalah antara ratusan orang awam yang ditahan secara paksa oleh tentera rejim di Tadamon, Damsyik pada 2013.

Berdasarkan rakaman video yang bocor pada tahun 2022, anggota perisikan tentera Bashar menolak tahanan yang ditutup mata ke dalam lubang parit sebelum menembak mati semua mereka.

Tidak cukup dengan itu, lebih 1,700 penduduk di Ghouta Timur, utara Syria dibunuh beramai-ramai menggunakan bom gas beracun sarin yang digugurkan di kawasan penempatan padat.

Pembunuhan beramai-ramai pada 21 Ogos 2013 itu menyebabkan ramai mangsa termasuk kanak-kanak mati bergelimpangan dalam keadaan mulut berbuih keracunan.

Penduduk yang masih bernyawa dikepung pasukan tentera selama tiga tahun hingga menderita kebuluran. Ada yang terpaksa memakan rumput dan kucing untuk meneruskan hidup.

Turut tidak dapat dilupakan pembunuhan beramai-ramai selama lima hari di Darayya, Damsyik pada Ogos 2012 apabila tentera rejim melancarkan serangan bom besar-besaran mengakibatkan kematian sekurang-kurangnya 700 penduduknya.

Penulis yang berada di Aleppo di utara Syria baru-baru ini turut menyaksikan sendiri kesan kemusnahan akibat serangan besar-besaran tentera Bashar Al-Assad pada April 2016.

Serangan roket, bom dan meriam ke kawasan kediaman, hospital serta sekolah mengakibatkan ribuan struktur bangunan rosak atau runtuh sepenuhnya.

Tinggalan kesan kemusnahan itu masih dibiarkan sehingga kini bagi memperingati sejarah kekejaman Bashar terhadap rakyatnya sendiri.

Selain pembunuhan besar-besaran, rejim Assad juga didakwa terbabit dalam penahanan 'black maria'. Beratus ribu penduduk negara itu dilaporkan [hilang' selepas ditangkap polis rahsia kerana dituduh menentang kerajaan tanpa bukti.

Ramai yang ditahan ini tidak pernah kembali dan ghaib selama-lamanya. Mangsa diheret polis rahsia Syria atau dikenali sebagai Mukhabarat ke penjara-penjara maut dibina sekitar Damsyik.

Bukti penganiayaan dan penyeksaan dilakukan rejim Bashar masih tertulis pada dinding-dinding sel Penjara Seydnaya, Syria yang pernah menempatkan beratus ribu tahanan.
‘LELAKI si leher panjang’.
‘LELAKI si leher panjang’.
Penjara ini yang mendapat jolokan rumah sembelihan dan menyiat kulit manusia menjadi lokasi penyeksaan dan pembunuhan sistematik terhadap tahanan politik.

Seperti apa dikatakan bekas anggota polis Syria, Mahmoud Al Mahmoud pada penulis, banduan di penjara ini tidak akan dibenarkan sesekali mati dengan mudah.

Sebaliknya mereka akan melalui berpuluh kaedah penyeksaan ngeri yang membuatkan mereka menggelupur sakit dan mati perlahan-lahan.

Menjengah penjara itu awal Februari lalu, penulis menyimpulkan penjara kebanggaan presiden Bashar Al-Assad ini tidak ubah umpama rumah mayat yang digunakan untuk memproses dan menghancurkan daging serta tulang banduan.

Bau hamis darah dan mayat manusia yang menyelubungi penjara Seydnaya sudah cukup menggambarkan penderitaan sadis dialami penghuninya. Hanya sebilangan kecil berjaya diselamatkan manakala majoritinya lenyap tanpa kubur.

Ketamakan kuasa dan kegilaan ditonjolkan Bashar ini meletakkan nama pemimpin ini setaraf dengan ketua Nazi, Adolf Hitler yang pernah membunuh 50 juta penduduk seluruh dunia ketika Perang Dunia ke 2. Malah namanya sebaris pemimpin Khmer Rouge, Pol Pot yang menyembelih 1.7 juta rakyat Kemboja hanya dalam masa tiga tahun pemerintahan.

Ternyata dosa-dosa besar rejim Bashar al-Assad ini meninggalkan luka amat dalam di jiwa rakyat Syria. Luka berparut yang akan dikenang generasi ke generasi seterusnya.

Biarpun dinasti Assad berusia lima dekad sudah digulingkan namun usaha mendapatkan keadilan, pembelaan serta memulihkan negara Syria pastinya bukan tugas mudah.

Ketika ini rakyat Syria masih bergembira meraikan 'hari pembebasan' dan kemerdekaan selepas tentera mujahiddin Hayat Tahrir al-Sham (HTS) pimpinan Ahmed al-Sharaa (Presiden inferim ketika ini) berjaya menggulingkan pemimpin diktator pada 8 Disember lalu.

Setiap hari halwa telinga penulis disajikan lagu patriotik 'Syria Janna' yang berkumandang di mana-mana. Ramai yang menari di jalanan sesuatu yang tidak pernah berlaku ketika di zaman Bashar.

Bait lirik lagu Syria Janna 'angkatlah kepala mu tinggi, kamu orang Syria yang sudah merdeka. Syria itu syurga dan kebahagiaan itu adalah Syria' cukup menggambarkan jiwa merdeka dirasa rakyat Syria.

Di pasar besar al-Hamidiyah dan kaki lima kota pula, wajah karikatur Bashar disulam pada stokin dijual kepada orang ramai. Tertera tulisan bahasa arab 'lelaki si leher panjang' pada stokin yang layaknya disarung di tapak kaki sebagai simbol kebencian rakyat.

Di bawah kepimpinan Ahmed al-Sharaa penulis merumuskan sedang berlaku peralihan politik yang teratur dan inklusif di Syria.

Tidak sampai tiga bulan memerintah, beliau sudah menunjukkan kemampuan membina semula institusi dan struktur politik Syria.

Walaupun berdepan dengan cabaran ekonomi dan pemulihan infrastruktur yang musnah angkara rejim Bashar, namun penulis dapat melihat perubahan drastik di ibu kota Damsyik.

Transformasi Ahmed al-Sharaa menjadi pemimpin politik yang lebih sederhana ternyata semakin diterima masyarakat antarabangsa.

Sebagai individu yang menyaksikan sendiri perubahan ini secara langsung, penulis melihat harapan dan ketabahan dalam diri setiap rakyat Syria. Walaupun jalan di hadapan penuh ranjau, dunia kini menantikan bagaimana Syria akan menulis semula naratifnya dan membentuk masa depannya di bawah kepimpinan baharu.


Penulis adalah Pengarang Berita Harian Metro

Tiada ulasan: