"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lompat terjun dari lori kerana diekori JPJ menyebabkan kenderaan itu merempuh sebuah rumah

BuletinTV3 
Tangkap layar lori dipandu seorang lelaki enggan berhenti ketika diarahkan penguat kuasa JPJ dekat Gangsa, petang tadi. – Foto tular.
MELAKA: Seorang lelaki melompat keluar dari lori lima tan dipandunya ketika diekori pasukan penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) hingga menyebabkan kenderaan itu merempuh sebuah rumah di Jalan KJ51, Taman Krubong Jaya, petang tadi.

Pengarah JPJ Melaka, Muhammad Firdaus Shariff, berkata dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, pemandu berusia 27 tahun itu berjaya ditahan dengan bantuan penduduk setempat.

Katanya, lori itu dikesan di Lebuh Sungai Udang–Paya Rumput–Ayer Keroh (SPA) sebelum diarah berhenti oleh pasukan penguat kuasa untuk pemeriksaan.

“Namun, pemandunya enggan berhenti dan berlaku insiden mengejar hampir sejam sejauh 25 kilometer sehingga ke Taman Krubong Jaya.

“Lelaki itu kemudian melompat keluar dari lori menyebabkan kenderaan itu bergerak tanpa kawalan dan merempuh sebuah rumah di Jalan KJ51, Taman Krubong Jaya,” katanya dihubungi di sini.

Menurutnya, insiden ini mengakibatkan kerosakan pada pagar, tembok rumah dan pikap Mitsubishi Triton.

“Kes diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan tiada kecederaan dilaporkan,” katanya lagi.

Muhammad Firdaus berkata, pihaknya membuat laporan di Balai Polis Durian Tunggal dan hasil semakan didapati lori berkenaan mempunyai lapan saman lampau yang sudah diselesaikan.

“Namun, kita keluarkan lima notis saman baharu terhadap pemandu atas kesalahan seperti tiada Lesen CDL (Lesen Memandu Kompeten) dan GDL (Lesen Memandu Barangan), tidak mematuhi lampu isyarat merah, serta memandu secara cuai,” katanya.

Terdahulu, tular video berdurasi 42 saat memaparkan lori dipandu melawan arus dan tidak berhenti sambil diekori kenderaan JPJ dekat Gangsa.

Tiada ulasan: