FMT Reporters
PETALING JAYA: Seorang kontraktor maut dipercayai ditikam oleh isterinya yang dikahwini sejak 37 tahun lalu, selepas berlaku perselisihan faham antara mereka dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Kajang, semalam.
Ketua Polis Kajang Naazron Abdul Yusof berkata pihaknya menerima panggilan kira-kira 11 pagi dan menemui mayat mangsa yang berusia 60 tahun.
Susulan itu, isteri mangsa yang berusia 59 tahun telah ditahan reman sehingga 21 Feb depan untuk siasatan dan polis turut merampas pisau digunakan dalam kejadian.
“Punca kejadian dipercayai adalah disebabkan perselisihan faham antara kedua mereka,” katanya dalam kenyataan.
Naazron berkata kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika disabitkan kesalahan boleh dihukum mati atau penjara di antara 30 hingga 40 tahun.
Sekiranya tidak dihukum mati, hendaklah juga dihukum dengan sebatan yang tidak kurang 12 sebatan.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kes ini boleh menghubungi mana-mana balai polis terdekat atau pegawai penyiasat kes Mohamed Hafeez Hamzah di talian 019-6556536,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan