"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Terengganu: Suri rumah mengaku salah bersubahat dalam kes rogol sepupunya

Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my
Pasangan suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas bersubahat dan rogol. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
Pasangan suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas bersubahat dan rogol. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
Kuala Terengganu: Suri rumah mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan bersubahat dengan suaminya dalam kejadian rogol ke atas sepupunya, awal bulan ini.

Wanita berusia 29 tahun berkenaan membuat pengakuan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa bersubahat dengan suaminya berusia 25 tahun melakukan kesalahan merogol mangsa berusia 15 tahun enam bulan di sebuah rumah di Marang antara 7.30 malam hingga 1 pagi pada 8 hingga 9 Februari lalu.

Tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 376 (2)(c) kanun sama, yang berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, di mahkamah sama, suami tertuduh yang bekerja sebagai buruh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan merogol mangsa yang juga sepupu kepada isterinya.

Kesalahan itu dilakukan lelaki terbabit dalam kehadiran orang lain iaitu isterinya di alamat, masa dan hari yang sama.

Dia yang didakwa mengikut Seksyen 376 (2)(c) Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan bersalah, mahkamah menetapkan 25 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk fakta dan hukuman.

Mahkamah turut membenarkan ibu kepada tiga anak terbabit diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

Bagi tertuduh lelaki, mahkamah menetapkan 23 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan tiada sebarang jaminan ditawarkan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Aisyah Mohamad, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Tiada ulasan: