AGENSI
GENEVA: Lebih 70 peratus rakyat Austria sanggup memboikot barangan Amerika Syarikat (AS) untuk membantah dasar perdagangan Presiden AS, Donald Trump, menurut satu tinjauan yang dijalankan oleh Institut Gallup Austria.
Menurut tinjauan itu, ia mendapati 55 peratus rakyat Austria menganggap jawatan Trump sebagai presiden menjadi ancaman kepada Kesatuan Eropah (EU).
Daripada jumlah itu, hanya 32 peratus yang menyokong kompromi dengan AS.
Di tengah-tengah ketegangan transatlantik yang memuncak, 60 peratus rakyat Austria berkata, EU harus menjadi lebih bebas daripada AS semasa Trump menjadi presiden.
Walaupun sebahagian besar berkata mereka boleh memboikot barangan AS, tetapi perkhidmatan digital Amerika masih diperlukan.
Ini kerana, hanya 45 peratus rakyat Austria boleh berhenti menggunakan rangkaian sosial seperti Facebook, WhatsApp atau X, manakala 47 peratus boleh meninggalkan platform membeli-belah seperti Amazon; 53 peratus boleh pergi tanpa perkhidmatan penstriman seperti Netflix atau Spotify dan 66 peratus berkata alat kecerdasan buatan Amerika seperti ChatGPT boleh diketepikan.
Tinjauan itu juga mendedahkan jurang umur yang luas pada boikot digital, dengan responden lebih muda kurang bersedia untuk melepaskan platform AS.
Boikot perjalanan lebih popular apabila 60 peratus mengatakan percutian ke AS ketika pentadbiran Trump tidak begitu diperlukan.
"Pengenalan tarif yang lebih tinggi mengukuhkan keinginan untuk EU memainkan peranan lebih bebas dalam hubungan transatlantik.
"Kompromi hampir tidak dilihat sebagai penyelesaian," menurut Andrea Fronaschutz dari Institut Gallup mengenai ulasan dalam tinjauan itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan