"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PAS intai peranan lebih besar dalam PN cetus persoalan

Minderjeet Kaur

PETALING JAYA: PAS mungkin meletakkan dirinya untuk menggunakan pengaruh lebih besar dalam Perikatan Nasional (PN) menjelang PRU16, dengan sumber Bersatu mengatakan ia mungkin berpunca rasa tidak puas hati terhadap kepimpinan Bersatu dalam gabungan itu.

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata PAS mengiktiraf kepentingan untuk memeterai persefahaman bersama dengan Bersatu mengenai perkara itu, kerana kedua-dua parti adalah penting dalam gabungan berkenaan.

“Bagaimanapun, PAS percaya ia mempunyai kelebihan, terutamanya apabila mereka melihat Pengerusi PN Muhyiddin Yassin sebagai pemimpin yang lemah berikutan kes mahkamah yang masih berjalan,” katanya kepada FMT.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man sebelum ini memberitahu Malaysiakini bahawa PN akan menstruktur semula kepimpinannya, setelah membentuk jawatankuasa untuk mengkaji dan mempertingkatkan rangka kerja organisasinya.

Beliau berkata gabungan itu sedang melihat untuk melakukan penambahbaikan menyeluruh strukturnya.

Muhyiddin, 77, didakwa di mahkamah atas tuduhan menyalahgunakan kuasa sebagai perdana menteri berhubung program Jana Wibawa untuk suapan RM232 juta bagi Bersatu pada 2021.

Presiden Bersatu itu juga menghadapi tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan wang RM200 juta, yang dimasukkan ke dalam akaun bank parti itu.

Sumber Bersatu memberitahu FMT bahawa terdapat perbincangan dalaman yang bertujuan memberi Timbalan Pengerusi PN Hamzah Zainudin peranan yang lebih aktif dalam jawatankuasa yang dirombak jika kepimpinan Muhyiddin dipersoalkan. Hamzah ialah timbalan presiden Bersatu.

Sumber itu berkata PAS telah mengemukakan cadangannya untuk menyusun semula kepimpinan gabungan itu pada Februari, tetapi tiada keputusan dicapai.

“Jawatankuasa PN yang Tuan Ibrahim sebutkan itu bertujuan untuk mengendalikan urusan harian gabungan, tetapi Bersatu masih belum bertindak mengikut cadangan PAS,” katanya sambil menambah jawatankuasa itu juga sedang mempertimbangkan untuk memberi Muhyiddin peranan sebagai penasihat.

“Tiada apa-apa yang dimuktamadkan tetapi ada desakan untuk menubuhkan pasukan bagi menyiapkan PN berdepan PRU16,” tambah sumber itu.

Jawatan penting

Seorang lagi penganalisis, Azmi Hassan dari Akademi Nusantara, berkata hakikat bahawa dua jawatan tertinggi PN disandang oleh pemimpin Bersatu — Muhyiddin dan Azmin Ali, setiausaha agung gabungan itu — telah menimbulkan persepsi bahawa ia didominasi oleh Bersatu.

“PAS mungkin merasakan ia perlu memegang jawatan yang lebih penting, seperti jawatan setiausaha agung,” kata Azmi kepada FMT.

Beliau berkata PAS berkemungkinan mendesak peranan lebih menonjol dalam gabungan itu menjelang PRU16 memandangkan parti itu memenangi lebih banyak kerusi berbanding Bersatu pada PRU15 pada November 2022.

“PAS juga percaya ia mempunyai pemimpin yang berkebolehan di peringkat negeri dan mahu ia dicerminkan dalam struktur kepimpinan PN,” katanya.

PAS memenangi 43 kerusi Parlimen pada PRU15, menjadikannya parti tunggal terbesar di Dewan Rakyat.

Bertanding di bawah panji PN, prestasi kukuhnya menyumbang dengan ketara kepada jumlah keseluruhan PN sebanyak 74 kerusi.

Kemenangan PAS sebahagian besarnya disumbang oleh Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah, di mana parti itu mendapat sokongan akar umbi yang kuat.

Tiada ulasan: