"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pengurusan lama Menara KL dakwa pejabat diceroboh, aset dirosakkan

Malaysiakini 

Isu Menara Kuala Lumpur terus berlanjutan dan terbaru syarikat pengurusan sebelum ini, Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB) dan Hydroshoppe Sdn Bhd (HSB) membuat laporan polis berhubung kerosakan barangan mereka di premis berkenaan.

Dalam satu laporan polis yang dibuat semalam, pihak MKLSB dan HSB meminta polis menyiasat jika wujud unsur khianat terhadap aset milik MKLSB di Menara Kuala Lumpur.

Laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Pengarah urusan MKLSB, Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh, berkata dia meminta pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya sekiranya wujud unsur khianat.

"Pihak kami mengharapkan agar siasatan lanjut dapat dijalankan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengenal pasti sama ada wujud sebarang unsur khianat yang disengajakan terhadap aset milik MKLSB.

"Sekiranya siasatan membuktikan wujudnya unsur khianat, tindakan susulan yang sewajarnya hendaklah diambil selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

"Tindakan memusnahkan atau dengan sengaja merosakkan harta milik MKLSB adalah suatu perbuatan yang tidak beretika dan mencerminkan tingkah laku tidak profesional yang sama sekali tidak wajar ditunjukkan oleh mana-mana pihak," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, MKLSB dan HSB mempersoal tindakan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan yang memasuki premis Menara Kuala Lumpur bagi menyita dan mengusir mereka sedangkan isu berkenaan telah dibawa ke mahkamah.

Abdul Hamid berkata, sepatutnya isu berkenaan kekal sebagai status quo sehingga mahkamah membuat keputusan dan pihaknya tidak patut diusir.

Dia mendakwa tiada pihak yang sepatutnya mengganggu status quo sehingga tarikh perbicaraan.

Sementara itu, Abdul Hamid mendakwa sebelum ini terdapat insiden di mana kakitangan MKLSB menerima ugutan untuk dicederakan kerana enggan menerima tawaran LSHSM.

"Sebelum ini juga terdapat insiden di mana kakitangan MKLSB telah menerima ugutan untuk dicederakan berikutan keputusan untuk tidak menerima tawaran daripada LSHSM, memandangkan tawaran tersebut tidak menepati prinsip 'no less favourable'.

"Sehubungan itu, pihak kami mengharapkan agar PDRM mengambil tindakan yang tegas dan telus susulan laporan yang telah dikemukakan," katanya lagi.

Berdasarkan laporan polis dan gambar yang diedarkan, kerosakan aset itu membabitkan rak dalam satu pejabat yang didakwa telah diceroboh masuk oleh pihak tertentu.

Pencerobohan itu mengakibatkan barangan peribadi telah hilang serta cermin kaca sebuah rak juga telah dipecahkan.

Sementara itu, Abdul Hamid ketika dihubungi Malaysiakini memaklumkan bahawa pihak polis mengesahkan tidak menjalankan siasatan terhadap laporan polis itu.

"Petang semalam selepas laporan polis dibuat saya dimaklumkan bahawa pihak polis tidak akan menjalankan siasatan lanjut," katanya.

Tiada ulasan: