Agensi

Rani dituduh membunuh anaknya selepas tidak dapat menerima kenyataan anaknya gagal peperiksaan. FOTO Agensi
New Delhi: Terkilan dan tidak dapat menerima kenyataan anaknya gagal empat subjek dalam peperiksaan, ibu di India ini sanggup membunuh anaknya selepas remaja perempuan itu menipu mengenai keputusan peperiksaannya.
Tertuduh, Bhimaneni Padmini Rani, adalah penduduk Shastrinagar di Banashankari.
Polis menahannya atas tuduhan menikam Sahiti Shivapriya, 17, sehingga mati pada 29 April tahun lalu.
Rani tinggal bersama Sahiti, anak tunggalnya, di rumah mendiang suaminya, Bhimaneni Maheshwar Rao, dan bergantung kepada pendapatan daripada sewa bangunan milik keluarga suaminya.
Pendakwa Raya, Bhaskar, memberitahu Times of India, Rani menyerang Sahiti dengan dua pisau dapur.
"Sahiti berbohong kepada ibunya, mengatakan dia mendapat 95 peratus dalam peperiksaannya. Tetapi pada 28 April, Sahiti memberitahu Rani dia gagal dalam satu mata pelajaran.
"Sahiti juga menyalahkan ibunya atas kegagalan itu dengan mengatakan dia tidak pernah menyokongnya," katanya.
Katanya, Rani yang kecewa menelefon rakan karib Sahiti yang mendedahkan remaja itu sebenarnya gagal dalam empat mata pelajaran.
Menurut Rani, dia sangat menyayangi Sahiti kerana dia melahirkan remaja itu selepas 16 tahun perkahwinannya.
"Saya semakin rapat dengannya selepas suami meninggal pada 2020 tetapi dia tidak menunjukkan rasa sayang sama.
"Saya menjalani pembedahan penggantian lutut tetapi dia tidak pernah melayan saya dengan penuh kasih sayang.
"Namun, saya tetap menyayanginya kerana saya percaya dia akan berubah suatu hari nanti," kata Rani kepada polis.
Katanya, dia memutuskan untuk membunuh anak perempuannya itu selepas dia malu dengan saudara-mara.
"Saya beritahu saudara-mara yang Sahiti mendapat markah 95 peratus dan akan terbang ke luar negara untuk melanjutkan pengajian tinggi.
"Jika mereka mengetahui realitinya, saya akan dihina. Jadi, saya memutuskan lebih baik dia mati," kenyataan Rani dalam kertas pertuduhan dibacakan.
Menurut kertas pertuduhan, Rani memberitahu saudara-maranya anak perempuannya berkemungkinan mendapat tawaran di universiti Amerika Syarikat.
Justeru, Mahkamah Bandar Bengaluru pada Selasa mendapati suri rumah berusia 59 tahun itu bersalah membunuh anak perempuan tunggalnya di kediaman mereka selepas remaja itu berbohong mengenai markah 95 peratus dalam peperiksaan.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan denda 50,000 rupee (RM2,575.81).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan