Raja Noraina Raja Rahim
AMPANG: Seorang lelaki ditahan polis selepas membuat kekecohan dan mengganggu ketenteraman awam di Kampung Pandan Dalam di sini, semalam.
Polis Daerah Ampang Jaya menerusi kenyataan berkata, pihaknya menerima laporan daripada orang awam pada jam 3.45 pagi.
"Apabila tiba di lokasi, pasukan mendapati suspek berusia 23 tahun itu dalam keadaan cedera dan ditahan orang awam kerana membuat kekacauan.
"Ketika pemeriksaan, suspek secara sukarela menyerahkan satu paket lutsinar berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu anggaran berat 0.70 gram," katanya dalam kenyataan di Facebook rasminya hari ini.
Menurut kenyataan, suspek dibawa ke Hospital Ampang untuk rawatan lanjut.
Katanya, ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.
Selain itu, semakan dilakukan juga mendapati suspek mempunyai lapan rekod jenayah lampau.
Kes disiasat mengikut Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan