"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Along ugut mahu sebar gambar bogel

Noor Hidayah Tanzizi
hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
MICHAEL Chong (duduk dua kiri) bersama mangsa kes hutang along di Wisma MCA. FOTO Amirudin Sahib
MICHAEL Chong (duduk dua kiri) bersama mangsa kes hutang along di Wisma MCA. FOTO Amirudin Sahib
Kuala Lumpur: Bahana meminjam RM3,000 daripada ceti haram atau along, seorang kerani bukan saja kerugian RM2,000 malah hidup dalam ketakutan dan resah apabila diugut gambar bogelnya akan disebar.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai K, 26, berkata, dia terpaksa meminjam wang untuk mengambil semula keretanya yang ditarik oleh bank selepas melihat iklan pinjaman peribadi di Instagram pada April lalu.

Katanya, dia mengisi borang secara atas talian dan memberikan beberapa dokumen kepada pihak berkenaan sebelum diminta membayar yuran pemprosesan sebanyak RM1,000.

"Saya membuat pembayaran itu melalui dua transaksi tetapi pihak itu mendakwa ia perlu dibuat dalam satu transaksi dan wang itu tidak akan dikembalikan. Saya kemudian buat satu lagi transaksi pemindahan wang sebanyak RM1,000.

"Dia mendakwa permohonan pinjaman gagal dan saya diminta memberi gambar bogel (sebagai sokongan proses selanjutnya). Selepas itu saya ambil keputusan untuk membatalkan pinjaman tetapi diminta bayar RM1,800," katanya pada sidang media di Wisma MCA, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Biro Aduan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong dan dua lagi mangsa pinjaman ceti haram.

K berkata, pihak berkenaan juga mengugut mahu menyebarkan gambar bogelnya termasuk kepada ibu bapanya sekiranya tidak membuat pembayaran dan sering diganggu selepas itu.

Seorang lagi mangsa, Chan, 23, berkata, dia terpaksa meminjam wang daripada along yang menawarkan pinjaman wang di Facebook kerana mengalami kerugian dalam perniagaan dalam talian.

Dia mendakwa bermula dengan seorang ceti, dia terpaksa meminjam sehingga 14 ceti haram dengan jumlah lebih RM20,000 dengan mendakwa sudah membayar hampir RM50,000.

"Keluarga membantu membayar pinjaman daripada 12 ceti namun dua lagi pinjaman saya tidak mampu bayar kerana satu pihak hanya memberi respon selepas tarikh tamat pembayaran, jadi bayaran itu meningkat.

"Satu pihak lagi masih menuntut bayaran walaupun pembayaran sudah dibuat. Apabila tidak mampu bayar mereka mengganggu dan mengugut termasuk memberi surat amaran merah kepada keluarga, mesej ibu dan pihak itu juga ada maklumat keluarga kami," katanya.

Sementara itu, jurujual yang mahu dikenali sebagai Tan, 35, berkata, keluarganya juga diganggu along yang mengugut mahu membuat kacau di rumah dan dia bimbang dengan keselamatan mereka.

Dia mendakwa, abangnya berusia 38 tahun yang meminjam wang daripada ceti haram dan mereka yang menerima beberapa panggilan daripada pemberi pinjaman wang berbeza yang mencari abangnya itu serta mahu menuntut pembayaran balik.

"Sebelum ini saya pernah selesaikan hutang abang dan dia janji tidak mahu berhutang lagi. Dia juga sudah tidak tinggal di rumah namun kini dia meminjam daripada 18 peminjam wang dengan jumlah kira-kira RM160,000 dan terus menggunakan alamat rumah saya.

"Pada awal bulan lalu, seorang individu datang mendakwa diri sebagai Melvin datang ke rumah mencari peminjam (abang) dan menuntut RM10,000 dan melekatkan nota amaran di hadapan rumah, jiran juga menerima mesej ugutan daripada lelaki itu," katanya yang memberitahu ibunya membuat laporan polis di Kajang, Selangor.

Dalam pada itu, Michael berkata, pihak berkuasa terutama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) diminta memberi perhatian kepada isu berkenaan yang menggunakan media sosial sebagai taktik untuk mendapatkan mangsa.

Tiada ulasan: