Agensi

ZHONG Wei muncul wira selepas menyelamatkan mangsa kemalangan. FOTO Agensi
Beijing: Seorang lelaki di China menjadi wira kerana hanya menggunakan tangannya untuk memecahkan pintu kenderaan yang terbakar demi menyelamatkan pemandu beberapa saat sebelum kereta itu rentung.
South China Morning Post (SCMP) melaporkan, rakaman video sempat dirakam saksi kejadian yang tular di media sosial China, menarik lebih empat juta tontonan pada satu platform.
Insiden berlaku selepas kereta dan basikal roda tiga petrol bertembung di jalan raya di Shaoguan, wilayah Guangdong di selatan China, pada 1 Mei.
Kereta itu berhenti di tepi jalan selepas kemalangan, namun basikal roda tiga yang terguling itu terbakar dan dikelilingi oleh asap toksik.
Zhong Wei, 35, menyaksikan kemalangan itu yang kebetulan berlaku di sebelah rumahnya.
Dia kemudian menghubungi ambulans namun menyedari api hampir menyambar bahagian pemandu kereta pada bila-bila masa.
Tanpa berlengah, Zhong meluru ke kenderaan sebelum mendapati mangsa tersepit di antara pintu sebelah pemandu yang rosak dan tiang.
Pada mulanya, dia cuba memecah pintu untuk menarik pemandu keluar namun terpaksa berundur apabila api tiba-tiba marak.
Lima saat kemudian, dia mencuba lagi dan dapat memecahkan pintu kemudian mengheret pemandu yang cedera keluar daripada kenderaan.
Zhong mengeluarkan mangsa melalui cermin hadapan yang pecah akibat kemalangan.
Dia meletakkan pemandu yang tidak sedarkan diri itu selamat di tepi jalan dan hanya beredar selepas kru pertolongan cemas tiba.
Dilaporkan, mangsa yang diselamatkan Zhong pulih di hospital.
Zhong, yang juga ketua pasukan di pejabat pertanian kerajaan bandar, bernasib baik kerana tidak mengalami kecederaan ketika menyelamatkan mangsa.
Pengorbanan Zhong tidak sia-sia kerana menerima penghargaan daripada kerajaan tempatan atas keberaniannya.
"Dia tidak menyelamatkan hanya seorang lelaki, tetapi seluruh keluarga di belakangnya," tulis seorang warganet.
-hmetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan