Syaherah Mustafa
am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Penggunaan platform media sosial mampu menyampaikan mesej parti secara lebih berkesan walaupun tempoh berkempen hanya tinggal sekitar seminggu sahaja, kata Calon Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli.
Beliau yang juga Menteri Ekonomi, berkata kempen alam maya yang dilakukannya mendapat tontonan tinggi melebihi 20,000 penonton walaupun persaingan yang berlaku kini hanyalah pemilihan jawatan di peringkat parti sahaja.
"Mesej parti melalui media sosial bukan sahaja dapat mendekati anggota parti di peringkat akar umbi, tetapi juga rakyat yang menyokong perjuangan parti malah menunjukkan mesej kita sampai kepada golongan sasaran.
"Selain itu, apa yang disampaikan melalui kempen di media sosial adalah serasi dan bertepatan dengan suara dan pandangan rakyat.
"Analisa terhadap sokongan akar umbi tidak boleh hanya bersandarkan kepada pandangan dua atau tiga individu berjawatan, kerana ia tidak mencerminkan sentimen sebenar keseluruhan anggota," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Program Jelajah Hidupkan Idealisme Reformasi dalam Ujian Kuasa (HIRUK) di Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Negeri Kelantan di Tanjung Chat, di sini, hari ini.
Rafizi mengakui wujud kelompok tertentu yang melihat pertandingan kali ini sebagai 'batu loncatan' untuk mencapai cita-cita politik, termasuk menjadi calon atau menteri.
"PKR adalah sebahagian daripada kerajaan, maka akan ada tokoh tertentu yang melihat pemilihan ini sebagai peluang untuk melonjakkan diri.
"Jika tidak berhati-hati, kita boleh berdepan gejala yang menjejaskan kestabilan parti namun saya tak nampak mana-mana parti lain cuba campur tangan kerana setakat ini semuanya berdisiplin dan bersopan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan