Mohd Ishak Abdillah Ngah
DUNGUN: Mahkamah Majistret di sini hari ini menolak permohonan reman terhadap seorang ahli perniagaan bergelar Datuk bersama adik lelakinya yang disyaki terbabit dalam kes penipuan hartanah.
Majistret Nur Amira Fatihah Osman, membuat keputusan itu selepas pihak polis memohon perintah reman untuk siasatan kes mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Mahkamah membuat keputusan menolak permohonan reman itu berikutan suspek pernah dipanggil polis dan telah memberikan kerjasama yang baik dalam siasatan kes terbabit sebelum ini.
Terdahulu ahli perniagaan terbabit bersama adiknya itu yang dibawa anggota polis, tiba di Mahkamah Majistret Dungun, jam 8.45 pagi untuk mendapat perintah reman.
Semalam, Ketua Polis Terengganu, Datuk Khairi Khairudin mengesahkan, suspek telah ditangkap semula oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu.
Katanya, tangkapan bagi membantu siasatan lanjut berhubung kes penipuan urus niaga tanah melibatkan seorang pesara guru.
Mangsa dilaporkan mengalami kerugian berjumlah RM35,000 pada tahun 2023.
Tangkapan dibuat selepas ahli perniagaan dibebaskan dengan jaminan RM6,000 bersama adiknya selepas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Besut atas pertuduhan melakukan kianat dengan merosakkan sebuah kereta Perodua Bezza pada 23 Oktober lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan