Berita Harian

Anggota pasukan Perkhidmatan Rahsia AS melakukan kawalan keselamatan untuk Trump selepas menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di ibu negara. - Foto BERNAMA
Kuala Lumpur: Seorang anggota pasukan Perkhidmatan Rahsia Amerika Syarikat (AS) dilihat melakukan kawalan keselamatan untuk Presiden Donald Trump selepas menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di ibu negara, semalam.
Rakaman gambar oleh Bernama itu menunjukkan anggota berkenaan membawa dua beg termasuk sebuah bersaiz besar.
Namun tidak dapat dipastikan isi beg berkenaan sama ada senjata atau peralatan lain.
Turut kelihatan seorang lagi anggota pasukan Perkhidmatan Rahsia AS meletakkan peralatannya di sebuah kenderaan yang diletak di bahu jalan manakala satu lagi foto menunjukkan seorang anggota pasukan itu berdiri mengawal kenderaan rasmi Trump dikenali `The Beast' di sebuah hotel di ibu negara.

Seorang anggota pasukan Perkhidmatan AS menyimpan peralatan di sebuah kenderaan yang diletak pada bahu jalan di ibu negara. - Foto BERNAMA
Trump yang tiba di negara ini kira-kira am 10 pagi semalam, berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 10.06 pagi tadi untuk meneruskan perjalanan ke Jepun, destinasi kedua dalam lawatan enam hari ke tiga negara di Asia.
Ketibaan Trump dengan menaiki pesawat rasmi Air Force One semalam bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 turut diiringi sebuah jet pejuang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Pesawat pejuang F/A-18D Hornet daripada Skuadron No 18 mengiringi pesawat khas yang membawa Trump sebaik ia memasuki ruang udara negara jam 9.24 pagi sebelum tiba di KLIA pada 9.55 pagi.
Menurut jurucakap TUDM, pesawat itu dikendalikan oleh Juruterbang Mejar Ahmad Nur Ikhwan Ahmad Tridi bersama Jurusensor Kapten Ahmad Nazhan Ahmad Nazrin.
Ini adalah jawatan pertama Trump ke Malaysia dan Asia sejak beliau dipilih semula menjadi Presiden AS pada Januari lalu.

Seorang anggota pasukan Perkhidmatan Rahsia AS melakukan kawalan keselamatan untuk Trump berhampiran kereta rasmi `The Beast’ . - Foto Bernama
Ketika berada di negara ini, beliau menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-AS ke-13 dan mesyuarat dua hala Malaysia-AS serta menyaksikan pemeteraian perjanjian damai Kemboja-Thailand.
Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan berlangsung selama tiga hari bermula semalam di bawah Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 yang membawa tema "Keterangkuman dan Kemampanan".
".
Tiada ulasan:
Catat Ulasan