Buletin TV3

KUALA LUMPUR: Ibu kepada Allahyarham Zayn Rayyan, Ismanira Abdul Manaf, 30, memuat naik hantaran di akaun Instagram miliknya selepas dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, hari ini.
Dalam hantaran itu, Ismanira mendakwa dia dan keluarga menjadi mangsa penganiayaan dan fitnah.
“Saya mendoakan semua yang terlibat dalam penganiayaan termasuk yang memfitnah kami akan dilaknat Allah.
“Kepada pembunuh anak saya yang masih bebas di luar sana, semoga dibinasakan Allah dunia dan akhirat,” kongsinya.
Di ruangan kapsyen pula dia mendakwa menjadi mangsa kepada kepada ketidakadilan undang-undang.
Terdahulu, Mahkamah Sesyen Petaling Jaya menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atas Ismanira selepas didapati bersalah mengabaikan Zayn Rayyan, dua tahun lalu.
Hakim Dr Syahliza Warnoh menetapkan hukuman penjara itu, bermula dari tarikh sabitan.
Syahliza turut menolak permohonan peguam bela Ismanira, Haresh Mahadevan untuk menangguhkan hukuman sementara memfailkan rayuan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Ismanira kemudiannya dibawa serta-merta ke Penjara Kajang bagi menjalani hukuman.
Mengikut pertuduhan pindaan, Ismanira sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anaknya Zayn Rayyan yang berusia enam tahun (ketika kejadian) didakwa mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar kawasan Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan Apartment Idaman, Damansara Damai, di sini, antara jam 12 tengah hari, 5 Disember dan jam 9.55 malam pada 6 Disember 2023.
Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di anak sungai berhampiran kawasan Pangsapuri Idaman, Damansara Damai, kira-kira jam 10 malam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan