B Nantha Kumar
Seorang guru wanita sekolah rendah di Kuala Selangor mendakwa menjadi mangsa karenah birokrasi dan tidak mendapat keadilan sewajarnya selepas gambarnya disunting separuh bogel serta disebarkan dalam talian.
Guru itu berkata perkara itu diketahui pada 16 Sept lalu apabila dia menerima mesej di Messenger daripada pemilik akaun tidak dikenali yang menghantar pautan Facebook mengandungi gambarnya.
Lebih mengejutkan, katanya, akaun Facebook itu mempunyai ramai rakan bersama termasuk guru lain dan laman rasmi sekolah, sekali gus menimbulkan syak bahawa pelaku mungkin mengenalinya secara peribadi.
"Bila saya nampak gambar itu, saya panik dan terus ke balai polis untuk buat laporan," katanya kepada Malaysiakini.
Bagaimanapun, guru berusia 28 tahun itu berkata dia diarahkan merujuk kes itu kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Di MCMC, dia dimaklumkan bahawa pihak polis perlu menyediakan laporan siasatan terlebih dahulu sebelum suruhanjaya itu boleh mendapatkan alamat IP atau butiran pemilik akaun.
"Pegawai MCMC beritahu saya, mereka perlukan laporan siasatan lanjut daripada polis sebelum boleh minta maklumat IP (Internet protocol). Atas nasihat MCMC, saya mendapatkan khidmat peguam," katanya.
Selepas hampir sebulan menunggu, MCMC memaklumkan bahawa mereka tidak mempunyai akses terus kepada maklumat akaun Facebook berkenaan.
"Keputusan untuk memberi kerjasama tertakluk kepada terma dan syarat penyedia platform," jelas MCMC dalam surat yang turut dilihat Malaysiakini.
Suruhanjaya itu kemudian menasihatkan guru berkenaan merujuk semula kepada polis dan membawa kes itu ke mahkamah untuk mendapatkan perintah rasmi sebelum sebarang maklumat boleh diperoleh.
Ketika dihubungi, MCMC memaklumkan bahawa aduan berhubung isu berkenaan telah diteliti dan tindakan sewajarnya diambil selaras dengan bidang kuasa di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588].
"Dalam aduan, pengadu memohon supaya akaun berkenaan dipadam serta siasatan dijalankan terhadap individu yang menyebarkan gambar tersebut.
"Selepas menerima aduan, MCMC telah mengemukakan permohonan kepada pihak platform untuk tindakan lanjut.
"Berdasarkan maklum balas diterima, kandungan berunsur lucah yang dilaporkan telah diturunkan oleh pihak platform," kata MCMC.
Mengenai permohonan untuk menyiasat individu yang menyebarkan gambar tersebut, MCMC menjelaskan bahawa perkara tersebut berada di bawah bidang kuasa pihak polis.
"MCMC melaksanakan tanggungjawab mengikut peruntukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Sebarang siasatan atau tindakan terhadap individu yang menyebarkan kandungan sedemikian terletak di bawah kuasa pihak polis,” jelasnya.
Sementara itu, guru berkenaan berkata pegawai penyiasat (IO) hanya menghubunginya selepas hampir sebulan, itu pun selepas dia menghubungi seorang bekas pegawai polis berpangkat tinggi.
"Selepas bekas pegawai berkenaan menghubungi Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, hanya dalam tempoh 20 minit, IO menghubungi saya dan meminta hadir ke balai.
"Bagaimanapun, sewaktu berjumpa, IO berkenaan sekali lagi mengatakan bahawa dia akan merujuk kes itu ke MCMC.
"Saya pergi ke MCMC, mereka suruh saya pergi ke polis. Bila saya pergi ke polis, mereka suruh saya ke MCMC. Saya jadi buntu. Hari ini genap 42 hari, namun saya masih belum menerima sebarang penjelasan mahupun penyelesaian.
"Jika seorang guru seperti saya pun berdepan dengan keadaan sebegini, bayangkan pula nasib individu lain yang kurang berpendidikan atau tidak mempunyai kesedaran tentang isu seperti ini," katanya.
Usaha Malaysiakini mendapat komen ibu pejabat polis Selangor tidak berjaya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan