"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Menyebar maklumat bohong ke neraka / Nizar / PKFZ / Altantuya

Datuk Seri Abdul Hadi Awang
Firman Allah SWT, “Dan siapakah lagi yang lebih indah cakapnya termasuklah lisannya daripada orang yang menyeru kepada agama Allah juga beramal dengan amalan yang soleh seraya menegaskan sesungguhnya saya termasuk dikalangan orang-orang menyedari Islam adalah sebenarnya.”

Pertamanya, saya mengucapkan tahniah bersempena dengan ulangtahun ke 10, penubuhan Jabatan IT PAS Pusat.

Satu bahagian penting diwujudkan selaras dengan perkembangan semasa dan kemajuan teknologi moden yang wajib dimanfaatkan oleh PAS khususnya bagi menunaikan tanggungjawab menyampaikan mesej risalah Islam yang diamanahkan kepada kita sebagaimana yang telah dilaksanakan oleh Nabi Muhammad SAW.

Ia bukan sekadar untuk menyampaikan maklumat tetapi untuk mengajak manusia disemua peringkat kepada Islam.

Dalam erti kata yang lain, mengislamkan manusia masyarakat dan negara khususnya dalam cara demokrasi barat yang memerlukan Islam mendapat sokongan yang ramai.

Oleh itu, maklumat tentang Islam memang sangat penting untuk menyampaikan hidayah itu ke dalam hati manusia.

Sebenarnya, menyampaikan maklumat sehingga orang itu mendapat hidayah adalah agenda besar daripada pokok amal yang termasuk dalam jihad menghapuskan musuh sehingga meninggal dunia.

Islam memilih pendekatan damai lebih dulu daripada peperangan. Islam melaksanakan peperangan apabila dipaksa selagi ada muwajahah silmiyyah. Kita memilih cara damai.

Oleh sebab itu, semua gerakan Islam yang ditubuhkan atas konsep islah dan tajdid mengambil saluran demokrasi, menyampaikan dakwah, mengajak manusia kepada Islam.

Penyampaian dakwah mestilah dengan maklumat, malah kita disuruh mengambil ruang maklumat untuk dimanfaatkan termasuklah dalam bidang IT.

Ia salah satu percapaian ilmu manusia yang terkini. Namun ia laksana senjata yang digunakan untuk mempertahankan diri atau digunakan sebagai senjata untuk melakukan kejahatan di muka bumi Allah SWT.

Dalam hal ini, PAS sebagai parti Islam wajib mengarahkan seluruh jenteranya, beramal dengan akhlaq dan adab-adab Islam.

Sekiranya kita melaksanakan tugas dengan akhlaq dan adab-adab Islam, maka sangat besar pahalanya dikurnia oleh Allah SWT. Sekiranya kita memilih dari yang lain, iaitu untuk membawa fasad sesama manusia, maka celaka dan balanya pun besar.

Marilah kita menghayati apa yang disabdakan oleh Allah SWT, “Jihad yang paling afdhal adalah berkata benar dihadapan pemerintah yang zalim” Jadikan ICT ini senjata untuk jihad menulis dan menerang, menyuruh kepada yang baik dan mencegah kemungkaran.

Sangat besar fadhilatnya sekiranya kita berjaya menarik seseorang kepada perkara yang baik dengan ilmu dan tenaga yang ada pada kita.

Sabda Rasulullah SAW, “Demi sesungguhnya kejayaanmu menyampaikan hidayah kepada seseorang sehingga ia menerima petunjuk kepada Islam lebih baik jika dibandingkan dengan kenderaan yang paling mahal harganya”.

Dan sabda Rasulullah SAW, “Barangsiapa yang menunjukkan satu jalan yang baik lalu orang mengikut jalan itu, dia akan mendapat pahala kerana menjalankan tugasnya dan dia mendapat pahala selagi ada orang yang mengikutnya sehingga hari kiamat.

Dan barangsiapa yang menunjukkan jalan yang buruk,maka dia berdosa kerana melakukan kerja itu dan menerima tanggungjawab dosa yang sama dengan orang yang mengikutnya sehingga hari kiamat.

Sesungguhnya, penyampaian melalui tulisan yang dicatit lebih berpanjangan dari ucapan yang diungkapkan. Maka, peranan ICT dalam menegakkan Islam sangat besar.

Terutamanya, teknologi maklumat menjadikan dunia yang lebih luas ini seolah perkampungan yang sempit.

Maklumat disebarkan dengan mudah, dicapai dengan mudah, maka kita juga menjadi sasaran.

Bukan sahaja kita menunaikan tanggungjawab menerang, tapi kita juga diserang. Disini, kita memerlukan kebijaksanaan dalam menangani keadaan semasa.

Kita diwajibkan untuk menggunakan uslub menerang lebih banyak daripada menyerang kerana matlamat kita adalah untuk menyelamatkan manusia.

Bukan untuk menuduh dan menghukum orang walaupun kita boleh menuduh dan menghukum orang itu.

Sekiranya menuduh dan menghukum itu membawa fitnah maka dosanya adalah besar. Sila buka kitab Riyaadus Solihin. Terjemahannya ada dalam bahasa kita.

Imam Nawawi menyebut satu hadith dimana Rasulullah SAW diwahyukan melalui mimpi. Mimpi seorang Rasul adalah benar dan wahyu daripada Allah.

Rasulullah SAW melawat neraka dan dilihat mereka yang diseksa dalam neraka itu, orang yang berzina dan memakan riba’ dan menyebarkan maklumat yang buruk sehingga perbohongan itu tersebar dengan luas, apatah lagi maklumat itu menjadi fitnah.

Dilihat seorang yang disangkut dengan penyangkut besi didagunya menembusi pipi dan mata diseksa didalam neraka, bila ditanya siapa itu, itulah penyebar maklumat bohong diseluruh pelusuk.

Disini, memberi peringatan kepada kita betapa kita perlu berhati-hati, apatah lagi kita adalah parti Islam yang menjadi model dan dilihat oleh orang lain.

Kesalahan satu titik dianggap kubah yg besar. Kesalahan yang kecil dibesarkan laksana bukit yang kukuh. Apa yang betul ditutup dan kita perlu bersabar dalam melaksanakan tugas.

Peranan dalam ICT sangat besar. Kita melihat sendiri perubahan politik dalam negara kita.

Kita mencapai kejayaan di kawasan-kawasan bandar dan pinggir bandar. Mencapai kejayaan dalam kalangan mereka yang terpelajar tapi kita gagal mempengaruhi mereka yang jahil dan lalai.

Kejayaan itu kerana kita menganggap mereka yang menggunakan teknologi maklumat dan membawa kepada perubahan pemikiran.

Kita tidak cukup dengan itu sahaja. Kita perlu menambah kadar pengaruh kita dan memikirkan bagaimana maklumat kita dapat disampaikan kepada seluruh rakyat .

Dengan sebab itu, kajian-kajian yang dibuat dalam masyarakat kita, tidak boleh samakan dengan masyarakat di barat. Iaitu masyarakat yang bermaklumat, berilmu dan mempunyai ilmu pengetahuan.

Kita hanya mengambil maklumat sekadar mereka yang mempunyai internet dan handphone. Itu hanyalah segelintir.

Sedangkan satu bahagian yang lebih besar, dikawasan-dikawasan pendalaman, di rumah-rumah setinggan, pekerja petani dan nelayan, merekalah yang menentukan perubahan politik dalam negara.

Muda-mudi pula dihantui dengan hiburan yang melekakan, kerana itu kita perlu selamatkan dan tanggungjawab kita dalam hal ini sangat besar.

Dan terpenting, bukan sahaja kita bekerja dalam bidang teknologi maklumat tetapi kita mesti berusaha untuk menyampaikan maklumat itu ke bawah dengan seluas-luasnya.

Alhamdulillah, PAS sudah mencapai kemajuan dan mendahului parti-parti yang lain termasuk parti BN yg memerintah.

Mereka memang bergantung dengan jentera-jentera kerajaan. Tetapi, kita bergantung dengan jentera dan tenaga kta sendiri yang tidak seberapa.

Tetapi, sering kali Allah menjadikan kemenangan Islam itu dalam keadaan yang tidak seimbang.

Musuh yang lebih kaya, lawan yang lebih canggih alat yang lebih, kebendaan yang lebih banyak dan tenaga yang lebih ramai sehingga empat kali ganda.

Tetapi Allah SWT menyatakan, “Dan bersedialah kamu dengan sekadar kemampuan kamu daripada kekuatan”.

Sering kali kekuatan itu ditafsirkan dengan alat senjata untuk berperang termasuklah kekuatan itu adalah alat untuk menyampaikan maklumat dan menyediakan kekuatan sekadar kemampuan yang ada pada kita.

Mereka yang mempunyai kelebihan mestilah menyumbang dengan ikhlas dan jangan menyembunyikan apa yang ada pada dirinya kerana kemampuan kita diketahui oleh Allah SWT.

Mereka laksanakan tugas dengan ikhlas, semua keikhlasan itu lahir dalam hati sanubari. Kita tidak boleh mengubah hati dan pemikiran manusia melainkan keikhlasan yang ada dalam hati sanubari kita.

Disinilah rahsia kemenangan Islam. Kita melihat sendiri nikmat yang ada dalam PAS. Kita mencapai kejayaan yang besar lebih daripada jangkaan dan kekuatan yang sebenar.

Mengapa? Kerana disana ada pertolongan dari Allah SWT. Walaupun dalam perhitungan pilihanraya ada pasang surut. Ada musim kita menang dan kalah.

Pilihanraya kecil, ada kawasan yang kita menang dan kita kalah. “Itulah hari yang silih berganti dikalangan manusia”
Namun kita perlu menyedari sebenarnya kemajuan kita berterusan.

Tiada berkurangan. Pilihanraya tidak boleh menjadi ukuran dan sukatan. Ukuran kefahaman masyarakat terhadap kita lebih penting.

Sebenarnya kita mendapat kemenangan moral dan besar di Bagan Pinang kerana BN terpaksa meletakkan calon yang tidak bermoral untuk mendapat kemenangan.

Walaupun kita merasakan natijahnya yang zahir namun disana terdapat kemenangan yang tersirat kurnia daripada Allah SWT.

Perubahan boleh berlaku sekiranya maklumat dapat disampaikan kepada rakyat. Maka peranan ICT sangat penting dalam menyampaikan maklumat ini.

Tidak cukup dengan majlis ceramah dan usrah sahaja kerana kita tidak boleh masuk ke dalam semua rumah. Tetapi ICT boleh menyalurkan maklumat dengan pelbagai cara dan lebih luas dan moden.

Disini, pihak ICT perlu membuat muhasabah, kajian dan perhitungan. Kita tidak boleh melihat yang lama sahaja.

Kita mesti mengejar kemajuan yang dicapai dalam bidang ini dan bersama dengan kemajuan itu. Kalau boleh kita mendahului lawan dalam perkara ini.

Alhamdulillah, Jabatan IT PAS Pusat sudah mencapai 10 tahun, satu usia yang sangat bermakna kepada kita.

Sudah tentu keadaannya lebih baik daripada mula ia ditubuhkan. Tidak cukup dengan keadaan yang ada bahkan mesti berusaha untuk mencapai yang lebh baik dan maju lagi.


Mudah-mudahan majlis ini diberkati oleh Allah SWT dan segala amal diterima olehNYA.

Sabda Nabi Muhammad SAW, “Teruskan perjalanan dengan mendapat keberkatan daripada Allah”. Kita rasmikan majlis ini.

Wabillahi Taufiiq Wal Hidayah, Assalamu’alaikum wrt wbt.

Tiada ulasan: