Ahmad Tajdid | |
Perbahasan tentang wajar atau tidak Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dimansuhkan makin hangat disiarkan media. Di satu pihak, ISA adalah akta zalim yang ketinggalan zaman dan sepatutnya dicampakkan ke dalam bakul sejarah. Malah Menteri Penerangan, Dato' Seri Rais Yatim dalam thesis kedoktorannya berhubung undang-undang drakonian di Malaysia menyatakan sentimen yang sama. Jika pendiriannya terhadap ISA kini berubah dan tidak selari dengan pandangannya dalam thesis Phd itu, jelas beliau tidak amanah terhadap ilmu. Di satu pihak lain, ISA nampaknya mahu terus dikekalkan. Alasannya mudah, ISA bagi mereka adalah undang-undang berbentuk preventif (mencegah) yang kononnya masih perlu untuk keamanan dan keharmonian negara. Selepas lebih 50 tahun merdeka, rupa-rupanya sebahagian rakyat negara ini masih mentah pemikirannya sehingga gemar mengungkit dan mengapi-apikan sentimen perkauman (seperti yang menjadi amalan beberapa pemimpin ultra Melayu dan penulis ultra Melayu di akhbar ultra Melayu - Utusan Melaysia). Oleh itu ISA perlu bagi mendisiplinkan golongan ini. Apa yang menghairankan, tidak ramai atau mungkin tidak ada langsung individu ultra Melayu yang ditahan di bawah ISA walaupun isu-isu yang dibangkitkan mereka begitu prejudis, melampau dan dusta. Lihat sahajalah isu azan Subuh yang memangsakan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok. Teresa ditahan di bawah ISA kerana tulisan berunsur menghasut, provokatif dan bohong seorang penulis pelampau Melayu di sebuah akhbar ultra Melayu. Ironinya penulis itu tidak langsung ditahan di bawah ISA malahan masih terus menulis dengan gaya dan bentuk rasis yang sama walaupun kini berhadapan dengan tuntutan mahkamah berjumlah RM30 juta! Soalnya kini, wajar atau tidak ISA dihapuskan. Bagi menjawab persoalan ini baik rasanya kita meninjau kembali sebab dan punca sebenar ISA diperkenalkan hampir 50 tahun lalu. Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan, Tun Abdul Razak Husain ketika membentangkan Rang Undang-undang Keselamatan Dalam Negeri di Dewan Rakyat pada 21 Jun 1960 beberapa kali menegaskan bahawa tujuan utama Akta itu digubal adalah untuk memerangi pengganas komunis. Abdul Razak menegaskan: "... Kerajaan bercadang hendak menamatkan darurat yang ada pada ketika sesudah 12 setengah tahun lama-nya iaitu akan tamat pada 31 hb Julai (1960). Oleh itu mustahaklah diadakan Rang Undang-undang termasuklah Rang Undang-undang Keselamatan Dalam Negeri atau Internal Security Bill. "Seperti yang telah diterangkan, kerap kali bahawa sungguhpun Darurat akan tamat pada 31 hb. Julai ini, tetapi musuh iaitu pengganas komunis masih lagi ada di negeri kita di antara sempadan Tanah Melayu. "Sudah saya terangkan tadi lebih kurang 580 orang lagi pengganas komunis di sempadan Tanah Melayu dan barangkali 90 orang lagi ada dalam negeri Tanah Melayu. Jadi, mustahak-lah kita mengadakan satu undang-undang supaya dapat Kerajaan meneruskan serangan terhadap pengganas-pengganas komunis ini supaya dapat dihapuskan dengan seberapa segera..." Bagi Tun Razak dan Kerajaan Perikatan pada waktu itu, ISA amat penting bagi membanteras gerakan subversif kamunis yang "hendak menjatuhkan Kerajaan negeri ini dan hendak merosakkan keamanan". ISA bagi Tun Razak digubal untuk: 1. Hendak menjalankan peperangan di sempadan antara Tanah Melayu dengan Siam (Thailand) supaya pengganas komunis akan dihapuskan dengan segera. 2. Hendak mencegah anasir-anasir pengganas komunis yang ada dalam negeri ini yang menjalankan pekerjaan dengan cara meresap atau subversif. Bagi Tun Razak, "kuasa-kuasa yang banyak sedikit" perlu diberikan kepada pihak Kerajaan, tentera dan polis bagi menjalankan tugas melawan pengganas komunis di sempadan Siam melalui peperangan. Bagaimanapun kuasa yang diberikan itu (terutamanya kepada pihak tentera) hanya boleh digunakan dalam kawasan-kawasan yang tertentu yang telah diisytiharkan sebagai kawasan keselamatan (security areas) antaranya di kawasan-kawasan sebelah utara negeri Perlis, timur Kedah, utara Perak, dan barat Kelantan. Dalam aspek mencegah anasir-anasir subversif komunis yang ada dalam Tanah Melayu pada ketika itu, Tun Razak menjelaskan secara terperinci Fasal 8 ISA berkenaan kuasa menahan orang yang difikirkan merbahaya kapada keselamatan negara. Menurut beliau: "Saya suka terangkan di sini Kerajaan tidak suka hendak memberi perintah supaya seseorang itu ditahan. Akan tetapi oleh sebab difikirkan kadang-kadang mustahak kerana keselamatan negeri, maka terpaksa di-gunakan kuasa ini. Dan apabila seseorang itu telah ditahan, Kerajaan berusaha supaya mereka itu dapatdilepaskan dengan seberapa segera. Secara jelas Tun Razak memberi jaminan bahawa ISA hanya akan digunakan Kerajaan untuk membanteras penularan anasir subversif komunis dan mereka yang ditahan di bawah akta ini akan 'dibebaskan secepat mungkin'. Malangnya selepas hampir 50 tahun ISA digubal dan Parti Komunis Malaya (PKM) telah meletakkan senjata dan seterusnya dibubarkan, ISA diperalatkan kerajaan BN untuk menahan aktivis politik yang mengancam keselamatan BN. ISA juga digunakan secara meluas untuk menahan individu-individu 'bukan komunis' yang disifatkan sebagai mengancam keselamatan negara (termasuk dalam mendokong kempen 'memerangi keganasan' Amerika Syarikat), walaupun ia bertentangan dengan tujuan dan matlamat sebenar penggubalan ISA. Bagi para pendokong ISA, ingatan Tun Razak ini wajar diberikan perhatian serius: "Dan saya boleh memberi akuan kapada Dewan ini bahawa kuasa-kuasa yang akan diberi kapada Kerajaan akan digunakan dengan cermatnya dan dengan semata-mata memikirkan kepada kepentingan dan keselamatan negeri." -harakahdaily.net- |
"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."
UBN Najib Altantuya: ISA: BN khianati janji Tun Razak
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan