"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sehari Di Himpunan Mansuhkan ISA

Oleh: addin_77

"Sebelum ini saya hanya melihat perhimpunan aman yang di anjurkan Pakatan Rakyat dan NGO hanya di internet dan di kaca tv sahaja. Kali ini saya memberanikan diri untuk menyertai Himpunan Mansuhkan ISA setelah terlepas peluang untuk menyertai Himpunan Bersih pada tahun lalu. 1 ogos merupakan hari bersejarah bagi saya (foto) dan mungkin segelintir lagi para peserta Himpunan Mansuhkan ISA.

Saya dan rakan-rakan Dewan Pemuda PAS Kawasan bertolak dari Pahang seawal jam 6.30 pagi. Dalam perjalanan untuk sampai ke KL kenderaan saya dan rakan-rakan melalui 2 sekatan Polis Raja Di Malaysia iaitu di Tol Karak dan Tol Gombak. Keadaan ini melihat kegilaan pimpinan UMNO BN dan polis dalam usaha menggagalkan perhimpunan aman tersebut. Saya dan rakan-rakan memilih untuk berkumpul di Masjid Negara. Untuk sampai ke Masjid Negara pelbagai sekatan dan pemeriksaan polis dilakukan dari Hentian Putra Pasar Seni, Pasar Seni, Daya Bumi dan Stesen KTMB.

Saya dan rakan-rakan sampai di perkarangan Masjid Negara sekitar 2.00 petang, didapati ramai polis berada di situ termasuk pasukan FRU atau lebih popular dengan gelaran 'anjing UMNO BN'. Kawalan ketat di Masjid Negara membuatkan orang ramai lebih berhati-hati . Polis makin bertambah ramai setelah rombongan Mat Sabu tiba di Masjid Negara. Selepas solat zuhur, kira-kira jam 2.00 petang peserta Himpunan Mansuhkan ISA yang diketuai oleh Dr. Hatta Ramli telah keluar di perkarangan Masjid Negara untuk memulakan perarakan tetapi tidak menggunakan laluan asal seperti di rancangkan kerana ada sekatan FRU. Berlaku sedikit kekecohan apabila Dr. Hatta Ramli cuba untuk membuat ucapan, di perhatikan 2 hingga 3 orang di tangkap oleh polis.

Pihak polis tidak dapat mengawal keadaan apabila orang ramai yang berada di situ mula menyertai perhimpunan tersebut menuju ke Jalan Kuching. Perhimpunan di Masjid Negara di anggarkan 20-30 ribu orang telah berarak menuju ke bulatan Sultan Sulaiman. Ketika menghampiri bulatan tersebut, perhimpunan tersebut telah disekat oleh pasukan FRU dengan tembakan gas pemedih mata dan 'water canon'.

Semasa serangan pasukan FRU, para peserta perhimpunan aman telah bertempiaran menyelamatkan diri termasuklah saya sendiri. Para peserta Himpunan mansuhkan ISA ingin berpatah balik ke Masjid Negara tetapi telah di kepung dari arah tersebut. Ketika di kepung pimpinan PAS (mungkin Dr. Hatta Ramli) membaca doa, selepas itu pasukan FRU menembak gas pemedih mata sekali lagi. Sekali lagi saya dan peserta himpunan bertempiaran lari dalam asap gas pemedih mata dan saya sendiri hampir pitam dibuatnya. Saya berlari menuju ke Bank Rakyat dan melepaskan lelah disitu. Di situ saya bertemu dengan Exco DPPN Pahang, Ustaz Azmi Dibok dan Ustaz Tarmizi yang sama-sama melepaskan lelah.

Setelah keadaan kembali reda, saya menuju ke Masjid Jamek untuk bertemu rakan-rakan yang menunggu saya di sana. Akibat gempuran pasukan FRU itu saya dan rakan-rakan telah berpecah. Saya dan rakan-rakan menaiki Putra LRT (Pasar Seni) untuk kembali ke Pahang dengan pengalaman yang cukup berharga dan bermakna. Pengalaman yang berharga ini menjadi pembakar semangat saya dan rakan-rakan untuk meneruskan perjuangan menentang kezaliman kerajaan UMNO BN di masa-masa akan datang. Ternyata kerajaan UMNO BN, Polis Raja Di Malaysia dan pasukan FRU 'anjing UMNO BN' tidak dapat mematahkan jiwa seluruh rakyat Malaysia yang bencikan kezaliman mereka.

Buktinya segala sekatan, provokasi dan ancaman yang di buat gagal jua akhirnya. Rakyat Malaysia dapat berkumpul dan menyatakan pendirian mereka di Himpunan Mansuhkan ISA dengan anggaran 100 ribu orang yang menghadirinya. Syabas rakyat Malaysia!! Kita akan bertemu lagi dengan siri-siri perhimpunan aman akan datang. Moga Allah SWT memberkati perjuangan kita semua dalam menentang kezaliman UMNO BN.

http://addin77.blogspot.com

Tiada ulasan: